Hafiz sapu dua anugerah, Sumpah Naim Daniel juara AJL34


Penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip menyapu dua anugerah pada Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu AJL 34 menerusi dua kategori Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik. 

Mempertaruhkan lagu ‘Kisah Cinta Kita’, lirik oleh Datuk A Aida serta komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali, kemunculan Hafiz pada pentas AJL kali ini mengubat rindu para peminatnya setelah pernah merangkul gelaran juara AJL 28 pada tahun 2014 dengan lagu ‘Bahagiamu Deritaku’.

Rata-rata peminat memuji persembahan Hafiz sebagai persembahan yang romantik dengan penampilan isteri penyanyi kelahiran program realiti tersebut pada akhir persembahan yang juga kelihatan menyarungkan busana dengan elemen tradisional Sarawak, iaitu pua kumbu.

Selain itu, lagu ‘Anta Permana’ dendangan asal Dato' Sri Siti Nurhaliza yang turut dipersembahkan oleh penyanyi kelahiran Sarawak, Bob Yusuf membawa pulang tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM20,000.

Bagi Anugerah Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik, Hafiz berjaya membawa pulang jumlah wang tunai RM24,000 berserta trofi, baucer Mc Donald’s RM10,000 dan baucer CJ Wow Shop berjumlah RM2,000.

Manakala, lagu Sumpah nyanyian dan ciptaan Naim Daniel diumumkan juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil.

Naim memenangi trofi dan wang tunai RM50,000.

Naib juara AJL34 menjadi milik lagu Bangun ciptaan Navigator dan Aman Ra. Lagu dendangan Aman Ra menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM35,000.

Menduduki tempat ketiga adalah Anta Permana hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. Lagu disampaikan Bob Yusof dan penampilan khas Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kemenangan itu melayakkan mereka menggondol hadiah trofi dan wang tunai RM20,000.

Lagu lain yang turut bertanding adalah Drama (Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib / Drama Band); Ku Bersuara (Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham / Ernie Zakri) dan Kisah Cinta Kita (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Datuk A Aida / Hafiz).

Turut bersaing Ragaman (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo / Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan / Fairuz Misran); Rampas (Hang Nadim, Laq / Bunga Cantik / Akim & The Majistret); Dinda (Ali Sariah / Kugiran Masdo); Peneman (Tam / Hazama) dan Lembah Kesepian (Haqiem Rusli / Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran / Haqiem Rusli) dan Sumpah (Aina Abdul)

Persembahan 12 finalis AJL34 diadili 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Azmeer, Edrie Hashim, Datuk Wah Idris, Altimet, Helen Yap, Datuk Mokhzani, Sharon Paul, Aznul Haidi dan Cat Farish. Ajai bertindak sebagai ketua juri.

Penghakiman dilakukan berdasarkan markah 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala baki 20 peratus melalui persembahan pada malam kemuncak.

Lebih tiga dekad sejak penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.
LihatTutupKomentar
Cancel