Isu peralihan kuasa dimuktamad 21 Februari - Anwar
KUCHING: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed tidak terlibat dan mengulangi kenyataan tegas akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah hasil perbincangan dalam pertemuan dengan Tun Dr Mahathir di Putrajaya berhubung peralihan kuasa.
"Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil dari KEADILAN sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal.
"Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
"Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya bagi membincangkan isu peralihan kuasa yang menimbulkan banyak spekulasi sejak kebelakangan ini.
Anwar berkata, barisan pimpinan PH akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018.
Katanya, selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM.
"Saya turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8.
"Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM," katanya.
PAS sebelum ini dilaporkan menyatakan pendirian untuk menyokong kepemimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal menerusi usul undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.
UMNO pula seperti didedahkan bekas Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Lokman Noor Adam, Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang melobi Ahli Parlimennya untuk mendapatkan SD untuk menyokong Dr Mahathir.