Jangan tolak proses sukat tanah
MARUDI: Penduduk rumah panjang di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi dinasihatkan untuk tidak menolak proses penyukatan tanah.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Dr Penguang Manggil berkata tindakan ini membolehkan tanah-tanah ini disukat untuk penyukatan perimeter survey.
“Sehingga kini terdapat 16 rumah panjang di kawasan DUN Marudi yang memohon penyukatan tanah perimeter survey dan kini sedang dalam proses mengeluarkan sijil warta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Panjang Subi ak Indi, Sg Laong, Bakong pada Ahad.
Dalam pada itu, perkhidmatan Kaunter Bergerak yang terdiri dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Daerah Marudi akan diadakan di Dewan Masyarakat Beluru pada 24 hingga 25 Februari 2020 dan di Rh Wen, Lapok pada 26 hingga 27 Februari 2020.
Penduduk boleh menggunakan perkhidmatan ini dengan memohon sijil lahir, kad pengenalan, kebajikan masyarakat, mendaftar dan menukar tempat mengundi dan sebagainya.
Datu Dr Penguang yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menjelaskan Kerajaan Sarawak mengiktiraf perlantikan tuai-tuai rumah yang bilangan rumah panjangnya di bawah 20 pintu.
“Semua gaji tuai rumah dan ketua kaum diselaraskan sebanyak RM900 sebulan.
“Bagaimanapun, elaun bagi Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah berbeza mengikut pintu seperti Kategori A 20 pintu dan ke atas adalah RM300 sebulan, Kategori B 10 hingga 19 pintu adalah RM200 sebulan dan Kategori C di bawah 10 pintu adalah RM150 sebulan,” ujarnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa penyambungan bekalan elektrik dan air bersih di Rh Subi ak Indi akan dimasukkan dalam peruntukkan tahun 2020.
Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Panjang Subi.
Pada majlis itu juga, Datu Dr Penguang menyampaikan cek dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk Gereja Long Sepiling (berjumlah RM60,000, Rumah Panjang Atam Long Tisam sebanyak RM50,000 dan Rumah Panjang Bantan RM80,000.