Jerami gulung jadi tumpuan bergambar di Yan

YAN, 18 Feb -- Kampung Kuala Dulang Yan Kechil, di sini terus menjadi tumpuan penduduk di negeri ini dan kawasan sekitar untuk bergambar bersama susunan menarik jerami gulung di kawasan sawah padi.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung pelbagai peringkat usia sanggup menahan terik matahari untuk merakam gambar masing-masing dan seterusnya berkongsi di media sosial.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kampung Kuala Dulang Kechil, Ismail Md Zain berkata idea untuk menyusun jerami-jerami tersebut daripada golongan belia yang mahu menghias dan mewujudkan kawasan cantik di kampung itu.

“Sebanyak 24 gulung jerami dibeli oleh penduduk daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan harga RM1,000 pada Januari lepas.


“Proses menyusun dan reka bentuk jerami ini dibuat secara gotong-royong oleh golongan belia yang beramai-ramai menghias tempat ini yang mengambil masa tiga hari,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Menurut Ismail, selain berpeluang berswafoto dengan jerami gulung, penduduk setempat turut menyediakan perkhidmatan lain di situ termasuk menunggang kuda dan memandu kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) selain gerai makanan dan minuman.

Bagaimanapun katanya peluang bergambar bersama jerami gulung itu hanya dapat ditawarkan sehingga awal April ini kerana selepas itu kawasan sawah yang diletakkan jerami itu akan digunakan untuk penanaman padi.

Sementara itu, seorang pengunjung Melmon Mojuin, 40, berkata susunan jerami gulung berlatar belakangkan sawah dan gunung menjadikan permandangan di kawasan itu cantik seperti berada di luar negara.


“Bagi saya benda ini patut diteruskan dan diperbesarkan kerana ia dapat menarik minat orang untuk datang ke sini dan yang penting para pengunjung yang datang ke sini menjaga kebersihan di lokasi ini,” katanya yang berasal dari Sabah dan berada di sini untuk urusan kerja.

Khoo Kaik Muah, 35, dari Sungai Petani pula berpandangan idea itu wajar diperluaskan kerana ia boleh menjadi tarikan dan identiti bagi sesebuah kampung.

“Zaman sekarang budak-budak kurang mengenali jerami, jadi saya rasa idea ini boleh memberi pendedahan kepada mereka tentang apa yang oleh dilakukan menggunakan jerami selain dijadikan makanan ternakan,” katanya.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel