Jual loteri haram secara terbuka
BAU:Seorang wanita pekerja ejen loteri haram yang menjual loteri haram secara terbuka di kaki lima Pusat Penjaja, di sini, ditangkap pihak polis petang semalam.
Suspek berusia 25 tahun dari Kampung Skiat Lama itu ditahan dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sekitar jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata ,suspek ditangkap ketika sedang beroperasi menjual loteri awam di situ.
"Kita turut merampas wang tunai, sehelai kertas putih yang tertulis angka loteri dan sebatang pen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semakan yang dilakukan wanita itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.