Kahwin: Guru ditipu jantan beranak tiga
SIBU - Air mata seorang wanita berguguran apabila mendapati dia bukan hanya dipermainkan perasaan malah kehilangan duit RM58,270 selepas ditipu kenalan media sosial yang mahu mengambilnya sebagai isteri.
Mangsa seorang guru berusia 38 tahun mendakwa, dia berkenalan dengan lelaki tersebut melalui media sosial pada September 2019 selepas tertarik dengan iklan perkenalan mencari teman sehidup semati.
Wanita itu tanpa berfikir panjang terus menghulurkan tali perkenalan dan menghubungi lelaki itu melalui aplikasi WhatsApp.
Selepas seminggu berhubung melalui WhatsApp, lelaki tersebut memberitahu dia mahu mengahwini mangsa, namun memerlukan duit untuk menyediakan kelengkapan majlis termasuk baju kahwin, bulan madu dan sebagainya.
Kerana sehabis daya cintakan lelaki itu, mangsa memberikan wang sebanyak RM47,280.
Pada Nov 2019, lelaki tersebut meminta RM10,450 lagi dan berjanji untuk membayar selepas majlis perkahwinan, namun mangsa tidak memberi.
Tersentak dari lamunan, pada 10 Feb 2020, mangsa tergerak menyemak status lelaki berkenaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), rupa-rupanya lelaki tersebut sudah berkahwin anak tiga.
Mangsa turut memeriksa ejen pelancongan dan mendapati tiada pakej bulan madu seperti yang dijanjikan.
Mangsa kemudian meminta lelaki tersebut membayar duit tersebut namun lelaki itu menolak dan tidak menghubunginya lagi.
Wanita itu kemudian membuat laporan polis hari ini.