Kamus bahasa Melayu Sarawak dan Ba'ie dilancar
KUCHING: Kamus Bahasa Melayu Sarawak dan Bahasa Ba’ie bakal dilancarkan pada tahun ini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) dengan sokongan daripada kerajaan negeri.
Ketua Pengarah DBP Malaysia, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shukran mendedahkan bahawa kamus tersebut sudah siap dikarang dan hampir semua dialek dalam Sarawak berjaya dikumpul.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Dalam perkembangan lain, DBP turut membincangkan tentang Program Anugerah Sastera Negeri Sarawak sebagai program yang akan diadakan dua tahun sekali.
Tujuan anugerah tersebut adalah bagi memberi pengiktiran kepada anak-anak Sarawak yang telah menyumbang di dalam bidang penulisan.
Menurut Datuk Sallehuddin, pada dasarnya Ketua Menteri telah bersetuju namun perbincangan secara lebih lanjut akan dilakukan dengan pegawai-pegawai yang berkaitan.