Kanak kanak dilarikan bersama kereta ditemukan selamat


MACHANG, 17 Feb -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang mengalami detik cemas apabila hampir tiga jam dilarikan seorang lelaki di Chabang Tiga, Kampung Kemubu pada 7.45 pagi tadi, ditemui selamat ditinggalkan di belakang sebuah pasar raya berdekatan Kok Lanas, Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mat Piah berkata kanak-kanak itu ditemui pada 10 pagi setelah suspek berumur 40-an itu meninggalkannya kepada seorang peniaga gerai di situ yang kemudian bertindak menghubungi polis.

“Suspek tinggalkan mangsa dan memberitahu kepada peniaga itu bahawa ibu kanak-kanak terbabit akan mengambilnya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom ke Sekolah Peringkat negeri Kelantan di Dewan Datuk Ismail Mamat, Sekolah Menengah Kebangsaan Machang di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit yang memakai uniform sebuah tadika dilarikan seorang lelaki bersama kereta jenis Proton Exora yang dinaiki mangsa ketika ibu kanak-kanak itu memberhentikan keretanya di tepi jalan untuk membeli sarapan.

Abdullah berkata ketika wanita berusia 40-an itu ke warung berdekatan untuk membeli kuih, secara tiba-tiba seorang lelaki masuk ke tempat duduk pemandu dan terus melarikan kereta yang tidak dimatikan enjin bersama anaknya yang ditinggalkan di dalam kereta berkenaan.
 
"Suspek dikatakan memakai kopiah dan berbaju kuning melarikan kereta terbabit yang berwarna keemasan dan pihak kami melancarkan gerakan mencari dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi polis," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama daripada semua pihak penting bagi mencegah jenayah dan salah laku pelajar sekolah.

"Ia perlu dilakukan secara holistik bagi melahirkan pelajar yang cemerlang pada masa hadapan dan pihak kami sentiasa membuka pintu kepada semua untuk bekerjasama mengadakan program bagi melindungi pelajar daripada terlibat dengan kesalahan jenayah.

"Pelajar sekolah merupakan pelapis negara yang perlu dilindungi dengan sebaik mungkin daripada unsur keburukan dan jenayah yang merosakkan diri sendiri, harta benda awam dan negara," katanya.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel