Kanak-kanak hilang ditemui selamat


PUTRAJAYA, 2 Feb -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun lapan bulan yang dilaporkan hilang di sebuah perumahan di Presint 15 di sini semalam, ditemui selamat.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata kanak-kanak itu ditemui pasukan penyelamat di tingkat 17 bangunan itu pada 1.25 pagi, iaitu kira-kira tujuh jam selepas dilaporkan hilang.

Beliau berkata kehilangan kanak-kanak itu disedari bapa mangsa pada 6.12 petang apabila dihubungi anak sulungnya yang bertanyakan sama ada adik bongsu mereka daripada enam adik-beradik itu ada bersama bapanya ketika itu.

"Semasa kejadian, kanak-kanak itu dijaga oleh abang sulungnya yang berumur 14 tahun di rumah mereka di tingkat lima. 

Abangnya kemudian turun untuk membuang sampah ketika mangsa bermain bersama yang lain di depan rumah, iaitu pada kira-kira 6 petang.

"Kanak-kanak itu dikatakan telah mengekori abangnya tanpa disedari. Abang mangsa hanya menyedari kehilangan adiknya 12 minit kemudian sebelum bertindak menghubungi bapanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Rusly berkata bapa kanak-kanak itu kemudiannya pulang ke rumah dan meminta bantuan penduduk di perumahan itu mencari anaknya sehingga 10.30 malam sebelum tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata polis kemudiannya membuka subtek (pusat operasi) di perumahan itu dan menggerakkan operasi mencari yang dibantu oleh 14 anggota dan dua ambulans daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 100 orang daripada komuniti setempat.

Rusly berkata operasi mencari dilakukan di setiap aras bangunan, parkir, kawasan tangga, bilik-bilik kosong dan berkunci, kawasan berdekatan termasuk rumah sampah dan longkang, di dalam dan di bawah kenderaan di perumahan itu serta rondaan bermotosikal di sekitar perumahan dan kawasan berdekatan.

Beliau berkata pasukan penyelamat mengesahkan menjumpai kanak-kanak itu di tingkat 17 bangunan itu seorang diri dalam kelaparan pada 1.25 pagi.
Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan, katanya dan menambah siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel