Kapit pertama miliki alternatif pembekalan air
KAPIT: Sarawak muncul sebagai satu-satu negeri di Malaysia yang mempunyai program alternatif pembekalan air.
Ia dikenali sebagai Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) yang diperkenalkan sejak 2017.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, SAWAS diperkenalkan untuk membekalkan air ke kawasan yang tidak dihubung dengan paip utama.
“Setakat ini sebanyak 22 kawasan telah dibangunkan dengan projek SAWAS di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pendidikan dan Kesedaran SAWAS Rumah Untat Sungai Melipis Bahagian Kapit.
Menurutnya, pengenalan SAWAS juga sebagai usaha membekalkan air ke kawasan pedalaman dalam tempoh singkat dan dengan kos lebih rendah berbanding penyambungan menerusi paip utama.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, Kementerian Utiliti Sarawak diberi tanggungjawab untuk memastikan setiap rumah di negeri ini dibekalkan dengan elektrik dan air menjelang 2025.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memberi kemudahan yang terbaik demi untuk mensejahterakan kehidupan masyarakat,” ujarnya.
Menurutnya lagi, program pendidikan dan kesedaran SAWAS diadakan untuk meninjau serta membuat penilaian projek.
Beliau menambah, untuk fasa 2, Kementerian Utiliti akan melaksanakan sebanyak 56 projek SAWAS di seluruh Sarawak bermula tahun ini hingga 2021.