Kastam sita rokok seludup,arak bernilai RM 4.5 juta
BINTULU:Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) menyita sebanyak 5.38 juta batang rokok, 3,890.88 liter minuman keras, sebuah lori berkunci dan satu unit kontena berukuran 20 kaki dianggarkan nilai keseluruhan RM 4.5 juta.
Sepasukan anggota Operasi Penguatkuasaan JKDM Bintulu dan Miri dengan bantuan Cawangan
Risikan Kuching telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah
gudang usang tidak bernama di Jalan Sungai Nyigu, di sini, Khamis lalu.
Pengarah Kastam Sarawak,Dato' Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata,hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah rokok dan minuman keras
pelbagai jenama yang disyaki tidak lulus kastam di dalam setor sebuah gudang.
"Selain itu, sebuah kontena dan sebuah lori lock van yang berada di dalam
gudang tersebut juga mengandungi sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai
jenama yang disyaki tidak lulus Kastam," katanya di sini hari ini.
Katanya,hasil daripada maklumat perisikan, gudang usang tanpa nama tersebut disyaki
telah dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tidak lulus
kastam.
"Penyimpanan rokok dan minuman keras di gudang usang tersebut
dibuat bagi mengelak tindakan mereka dikesan oleh pihak berkuasa.
"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota penguatkuasaan JKDM
Bintulu dan Miri telah digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan di lokasi yang
dimaksudkan,"ujarnya.
Beliau berkata,
barang kes telah disita dan dibawa ke pejabat penguatkuasaan Bintulu untuk
tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.