Kedudukan daya saing Malaysia merosot


KUCHING, 13 Feb: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mensasarkan kedudukan daya saing negara ini di peringkat global ditambahbaik tahun ini pada kedudukan 20 negara teratas dalam laporan Global Competitiveness Report (GCR) 2020 dan World Competitiveness Yearbook (WCY) 2020.

Ketua Pengarah MPC, Dato Abdul Latif Abu Seman berkata ini selepas tahun lepas kedudukan Malaysia di tangga ke 27 dari 141 negara dalam laporan GCR 2019 yang dikeluarkan World Economic Forum (WEF) dan jatuh berbanding di kedudukan 25 pada 2018 serta 26 pada 2017.

"Kita nak dalam laporan kedudukan GCR tahun ini, kalau boleh (kedudukan Malaysia) berada antara 20 negara teratas atau (kedudukan) 1 sehingga 20,"katanya ketika menghadiri Majlis Asperasi Industri & Media bersama Ahli Lembaga Pengarah MPC, Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg di Bukit Mata Seafood, Jalan Song, di sini, malam tadi.

Abdul Latif berkata pihaknya juga  mensasarkan Malaysia di kedudukan 20 negara teratas tahun ini bagi satu lagi laporan dayasaing global utama dunia iaitu World Competitiveness Yearbook (WCY) 2020.

Ini berikutan dalam laporan WCY 2019 diterbitkan Institute Of Management Development (IMD) World Competitiveness Centre di Lausanne, Switzerland mendedahkan kedudukan Malaysia kekal di tangga ke 22 dari keseluruhannya 63 negara dan bertambah baik dari tangga ke 24 pada 2017.

"Laporan (GCR 2020 dan WCY 2020) ini  penting kerana memang digunakan banyak pelabur bagi melihat samada persekitaran Malaysia kondusif untuk mereka menjalankan perniagaan,"katanya.

Katanya kedudukan terbabit juga memberikan gambaran kepada pelabur sejauh mana mudahnya mendapat lesen perniagaan atau menambah dan mengembangkan pelaburan sekiranya melabur di negara ini.

Selain itu, beliau juga mendedahkan pihaknya mensasarkan Malaysia di kedudukan 10 teratas dari 190 negara tersenarai dalam laporan World Bank’s Doing Business Report tahun ini yang mengukur mudahnya menjalankan perniagaan di negara ini.

"Dahulu kita di kedudukan ke 15, tetapi dalam laporan itu yang terkini Oktober tahun lepas mendedahkan Malaysia naik di kedudukan ke 12. Saya ingat kita harus memperbaiki lagi sehingga sekurangnya kita antara 10 negara teratas (tahun ini),"katanya dan yakin sasaran terbabit mampu dicapai sekiranya ada kerjasama semua pihak.
tamat

keterangan gambar:
1. Dato Abdul Latif Abu Seman ( kanan) menyaksikan Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg (dua dari kiri) menyampaikan sjilil penghargaan kepada wakil industri di Majlis Asperasi Industri & Media bersama Ahli Lembaga Pengarah MPC, Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg di Bukit Mata Seafood, Jalan Song, di sini, malam tadi.
LihatTutupKomentar
Cancel