Kenapa jimat cermat di Sarawak sahaja?
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
BAGI Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sebanyak RM21.857 bilion melalui model Rakan Pelaksana Projek (PDP) adalah mahal dan perlu dijimatkan.
Maka model PDP ditamatkan dan kerajaan mendabik dada mendakwa berjaya menjimatkan RM2.865 bilion.
Bagaimanapun di sebalik kejayaan itu, ada kisah dukanya. Kira-kira 500 staf syarikat PDP iaitu Lebuhraya Borneo Utara (LBU) menjadi korban hilang pekerjaan.
Secara prinsip, penjimatan adalah sesuatu yang baik dan perlu diperluaskan oleh kerajaan, bukannya terhenti di Pan Borneo Sarawak sahaja.
Salah satu projek yang wajar dipertimbangkan untuk penjimatan ialah Lebuhraya-Pan Island Link 1 (PIL 1) di negeri yang dikuasai DAP iaitu Pulau Pinang.
Ia merupakan lebuh raya yang paling mahal dalam sejarah Malaysia dengan kos RM7.5 bilion hanya untuk jarak sejauh 19.5 km. Dengan kata lain kos setiap kilometer lebuh raya itu ialah RM385 juta.
Sebagai perbandingan, kos asal Pan Borneo Sarawak sebanyak RM21.857 bilion adalah bagi jarak 786 km dari Telok Melano ke Miri. Jarak itu kurang sedikit daripada Lebuhraya Utara Selatan sepanjang 847 km yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam dan Johor Bharu.
Kos PIL 1 itu juga adalah 140 peratus lebih mahal daripada Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) yang pernah dirancang di Selangor tetapi dibatalkan akibat bantahan banyak pihak termasuk wakil-wakil rakyat DAP.
Yeo Bee Yin (kini Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar) pada 2014 menulis dalam lidah rasmi DAP, The Rocket bahawa KIDEX dengan kos RM2.4 bilion atau RM161 juta bagi setiap kilometer adalah lebuh raya paling mahal di Malaysia.
Tetapi dalam kes PIL 1, tidak pula Bee Yin membuat bising. Bukan sahaja kosnya berkali-kali ganda lebih tinggi tetapi turut merosakkan alam sekitar yang berkait dengan portfolionya sekarang.
Projek PIL 1 bukan sekadar membelah bukit bukau di Pulau Pinang yang telah pun banyak ditarah atas nama pembangunan tetapi turut dibiayai oleh hasil penjualan pulau buatan yang bakal diwujudkan melalui projek Penang South Reclamation (PSR).
PSR merupakan projek menebus guna 4,500 ekar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.
Ia bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai Rancangan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion yang mana PIL 1 adalah salah satu daripada komponennya.
PTMP yang turut digerakkan oleh Guan Eng sewaktu bergelar Ketua Menteri Pulau Pinang turut dilaksanakan dengan konsep PDP sebagaimana Pan Borneo Sarawak.
Timbul persoalan, adakah model PDP hanya tidak sesuai untuk projek mega di Sarawak tetapi masih relevan untuk melaksanakan PTMP.
Berbalik kepada PSR, pelbagai NGO sudah menyuarakan bantahan kerana tiga pulau berkenaan akan mendatangkan 'bala' kepada alam sekitar dan ekosistem.
Ia dilihat akan 'membunuh' komuniti nelayan pesisir pantai yang sememangnya sudah berdepan dengan pelbagai kesan negatif akibat projek tambak laut terdahulu.
PSR akan menyebabkan kawasan penangkapan hasil laut seperti ikan, ketam dan udang ditambak menyebabkan nelayan harus pergi lebih jauh.
Ini menyebabkan kos minyak dan masa menangkap ikan akan bertambah yang akhirnya mendorong kepada kenaikan harga sumber protein itu.
Nelayan yang terjejas pula tidak hanya di Pulau Pinang tetapi turut mencakupi kawasan Utara Perak dengan jumlah keseluruhannya dianggar melebihi 10,000 orang.
Ini kerana PRS memerlukan sebanyak 189 juta meter padu (m3) pasir yang akan dikorek di kawasan 20 batu nautika dekat perairan daerah Manjung hingga Kerian, Perak.
Perlombongan pasir itu akan menyebabkan hakisan teruk di pesisir pantai, sekali gus menjejaskan kawasan hutan paya bakau.
Selain itu, aktiviti berkenaan turut menyebabkan wujudnya kawah besar di dasar laut, selain menjejaskan kawasan terumbu karang yang menjadi lokasi pembiakan ikan.
Begitulah sedikit gambaran kemusnahan alam dan kesan negatif kepada nelayan gara-gara mahu mewujudkan tiga pulau buatan bagi membiayai PTMP.
Tanah di tiga pulau itu pula akan dibangunkan antaranya sebagai kawasan komersial dan perumahan yang pastinya tidak mampu dimiliki majoriti penduduk tempatan.
Inikah sikap kerajaan yang prihatin, rakyat sendiri 'dibunuh' untuk menguntungkan orang asing. Barangkali dari Singapura, Taiwan atau negara mana sekalipun...
------------------------
*SAIFUL HAIZAN HASAM merupakan bekas Editor di sebuah akhbar nasional yang pernah memenangi dua Anugerah Kewartawanan Kenyalang Shell 2013 bagi kategori Laporan Berita Terbaik dan Laporan Alam Sekitar Terbaik.