Kenapa Rakyat Sanggup Beratur Panjang Demi Ayam Murah?



Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias



Sehingga ke hari ini netizen melontarkan reaksi serta pandangan masing-masing mengenai rakyat sanggup beratur panjang dan berjam-jam demi mahu makan KFC murah.

Semalam KFC memberi promosi jimat RM8 satu hidangan.

Sebahagian ketawa, mengejek, menghina orang bandar yang sanggup beratur panjang demi KFC murah.

Tetapi segelintir pula bersimpati melihat suasana sedemikian berlaku ke atas negara ini sehingga ada tertanya teruk sangat ke ekonomi negara hari ini.

Realiti yang ramai bersetuju adalah kos sara hidup semakin tinggi amat mencengkam leher masing-masing.

Rakyat buang rasa malu, demi memenuhi kehendak anak, isteri dan diri untuk makan KFC murah.

Suasana begini jarang berlaku dulu-dulu rakyat tidak kisah sangat KFC sebab ada banyak pilihan seperti TEXAS, McD dan sebagainya.

Bercerita mengenai fakta mengikut PERKESO, sepanjang tahun lalu hampir 40,000 rakyat kerja swasta hilang sumber pendapatan dalam skim pemberhentian beramai-ramai, tahun ini pula projek terbesar lebuh raya Pan Borneo Sarawak menamatkan 500 pekerja serentak berkuat kuasa semalam.

Realitinya amat perit bagi rakyat bawahan, mereka tidak faham apa itu KDNK dan sebagainya istilah ekonomi, yang mereka tahu cukup tak duit nak makan esok, cukup tak duit untuk ke pergi kerja dan sebagainya.

Fenomena kemiskinan miskin rentan sedang berlaku ke atas penduduk di bandar dan pinggir bandar dimana status ekonomi seseorang berubah daripada mampu kepada tidak mampu tanpa ia bersedia menghadapinya.

Pakar Ekonomi Penggunaan dari Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Laily Paim yang membuat kajian khusus golongan kemiskinan rentan ini berkata, faktor kos sara hidup yang meningkat, diberhentikan kerja,  kesihatan merosot, kurang upaya akibat kemalangan dan lain-lain lagi yang menjejaskan pendapatan atau sumber kewangan seseorang.

Kelompok ini berpendapatan bulanan isi rumah antara RM3,860 hingga RM8,319 (pertengahan 40 peratus, M40) dan juga isi rumah berpendapatan bulanan sehingga RM3,855 (40 peratus terbawah, B40) tetapi tiba-tiba mengalami kesempitan kewangan akibat faktor semasa.

Pakar itu memberi contoh seorang yang berpendapatan RM6,000, memiliki empat anak yang masih bersekolah, tiba-tiba tidak mampu membayar pinjaman bank bagi rumah, kereta dan kad kreditnya akibat kenaikan harga barang yang meningkatkan kos sara hidup.

Analoginya mereka lebih miskin dari orang yang menetap di kampung,  walaupun ada kereta tetapi mahu isi minyak kereta pun tidak mampu, maknanya merea  boleh dikategorikan lebih miskin daripada yang tidak memiliki kereta.

Orang di kampung kurang komitmen bank dan sebagainya, mereka juga sudah biasa hidup dengan kos hidup yang mininum.

Malah, fenomena ini disokong dengan data perangkaan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), iaitu sehingga 28 Februari 2019 jumlah kemiskinan yang disahkan berjumlah 190,534 yang mana jumlah miskin sebanyak 134,553 dan miskin tegar 55,981.

Daripada jumlah tersebut, jumlah miskin bandar didapati seramai 107,114 (56 peratus), lebih tinggi dari jumlah miskin luar bandar iaitu 83,420 (42 peratus).

Nilai RM10 pada tahun 2020 jika di bawa ke pasar malam, hanya cukup untuk satu hidangan bagi seorang dewasa.

Perbelanjaan purata untuk keluarga seramai tiga anak membeli barangan runcit purata RM500 bagi kehidupan seminggu.

Bank Negara Malaysia tidak mampu nak edar 1 sen walaupun tanda harga 99 sen masih berlambak, tidak mustahil lima sen akan hilang menyusul, sen hilang akan jadi seperti rupiah.

Dulu masa ada setengah sen, makan bihun sepinggan 10 sen sahaja, sekarang RM4 bagi sepinggan bihun kosong kerana amalan negara berpendapatan tinggi sama amalan di Indonesia.

Kesan negara berpendapatan tinggi, majikan terpaksa bayar gaji tinggi sebab mahu pendapatan tinggi, maka produk dijual pun dinaikkan untuk menampung kenaikan kos, jika di Eropah negara bernilai tinggi harga kopi sama sahaja dari dulu.

Malah, tinjauan mendapati rata-rata peniaga makan di negara ini juga mengeluh rakyat kurang kuasa membeli, kos belian mahal mereka hendak turunkan harga jualan pun susah.

Jadi moralnya, tidak perlu menghukum, perli atau ketawa orang yang sanggup beratur nak beli KFC murah, setiap orang nasib dan rezekinya berbeza bukan semua mampu makan mewah di restoran berpusing  Menara Kuala Lumpur.

Penulis sendiri ada pengalaman  membawa anak-anak asnaf makan KFC kerana kata mereka seumur hidup tidak pernah makan KFC.

Menitis air mata kadang-kadang lihat ada keluarga yang bercatu-catu nak makan, tanya anak masing-masing seorang seketul boleh ke?

Pasti ada pula yang sinis berkata boleh beli telefon bimbit takkan KFC berkira,  itulah yang dimaksudkan miskin rentan dulu mereka mampu sekarang kemampuan itu hilang.

Bagaimanapun di sebalik semua ini, KFC  hari ini berjaya dalam strategi publisiti dan promosi baru, tatkala berdepan dengan ramai pesaing.

Malangnya, saiz ayam KFC masih terlalu kecil daripada biasa mungkin untuk mereka mengimbangi kos.

Tetapi peniaga pasar malam di Bandar Baru Batang Kali tidak kurang hebatnya mereka mampu jual ayam KFC harga RM1 seketul.

Ironinya, Malaysia Baru hari ini orang sanggup bergaduh demi KFC murah.


***Wan Noor Hayati Wan Alias memulakan kerjaya kewartawanan sejak 2008, telah memenangi lebih 25 anugerah media termasuk Anugerah Kajai. 
LihatTutupKomentar
Cancel