Bila nak repair sekolah daif – Dr Annuar
KUCHING : Duit sudah banyak diberi tetapi bayangan janji ditunaikan masih belum lagi nampak.
Dalam keadaan begini, siapa yang tidak resah gelisah. Itulah situasi dihadapi oleh kerajaan Sarawak ketika ini apabila kerajaan Persekutuan masih gagal menunaikan janji melaksanakan projek naik taraf sekolah daif di negeri ini.
Menurut Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee, kegagalan kerajaan Persekutuan melaksanakan segera projek pembinaan sekolah daif cukup meresahkan kerajaan negeri ketika ini.
“Sebanyak RM350 juta sudah kita bayar pada tahun lepas dan RM350 juta lagi kita sudah bayar pada bulan Februari ini.
“Persoalannya sekarang ialah daripada RM350 juta tersebut telah dipersetujui untuk membaik pulih sebanyak 44 buah sekolah itu `tranche’ atau pun fasa 1 sebanyak 44 buah sekolah kita difahamkan hanya dua buah sekolah sahaja tender ditawarkan….persoalannya mengapakah perlu mengambil masa panjang sedangkan kita telah bayar dan senarai-senarai sekolah telah kita kemukakan” kata Annuar membangkitkan persoalan itu ketika ditemuramah di pejabatnya di Kuching.
Annuar berkata, kerajaan Sarawak cukup serius apabila mahu isu sekolah daif di negeri ini diselesaikan kerana mengutamakan keperluan rakyat.
Katanya, bukti kesungguhan itu boleh dilihat apabila kerajaan negeri sangguh memberi pinjaman kepada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek baik pulih telah dirancang.
“Kelewatan projek ini telah menimbulkan kerisauan pihak kerajaan negeri sebab mengikut persetujuan awal, setiap proses dibuat kerajaan negeri mesti mengikut waktu-waktu ditetapkan untuk membayar.
“Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan persetujuan ini sehingga sudah membayar RM700 juta setakat ini, tetapi hanya dua buah sekolah yang ditawarkan tender,” ujarnya.
Lebih mengecewakan, Annuar berkata, kerajaan Persekutuan memberi banyak alasan dan cuba memputar belitkan keadaan bagi melambatkan prosedur baik sekolah daif.
Justeru, tegas beliau, pihak pelaksana harus meneliti kembali proses yang melambatkan projek baik pulih tersebut kerana ia berkaitan dengan kepentingan untuk anak-anak Sarawak.