Chong apahal gago hal sekolah? Harga bawang jak urus...
PANAS…panas… Isu sekolah daif semakin panas apabila menteri Sarawak dan menteri Persekutuan berterusan `bertikam lidah’ masing-masing menyalahkan antara satu sama lain.
Terbaharu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi , Dato Sri Michael Manyin Jawong mendakwa kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen cuba mengelirukan dan tidak membuktikan gambaran sebenar pelaksanaan inisiatif RM1 bilion baik pulih sekolah usang di negeri ini.
Micheal Manyin bertegas menyokong kenyataan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mendedahkan sehingga kini belum ada lagi kerja-kerja baik pulih sekolah usang dijalankan menerusi inisiatif tersebut di Sarawak.
Ujarnya, Abang Johari berkata benar kerana fakta itu turut telah disahkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi kenyataan media yang mengatakan kerja-kerja baik pulih sekolah usang di bawah perjanjian itu belum dijalankan
Tegas Manyin, dakwaan Chong yang mengatakan Ketua Menteri membuat kenyataan tanpa mendapat rundingan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan menyindir Abang Johari tidak mengatakan kebenaran mencerminkan keangkuhan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu sendiri tanpa memeriksa fakta yang betul.
Mengulas isu sekolah daif atas kapasiti sebagai Pengerusi PH Sarawak dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong sebenarnya dilihat tidak berapa` kena’ apabila mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakan kerajaan Pusat yang masih gagal menunaikan janji membaik pulih sekolah daif walaupun Kementerian Kewangan mengesahkan telah menerima pembayaran kedua bayaran balik pinjaman RM350 juta daripada kerajaan Sarawak pada 6 Februari lalu.
Bukankah Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang kementeriannya terlibat secara langsung dalam isu sekolah daif ini lebih afdal untuk menjawab dan mengeluarkan kenyataan bagi penjelasan kepada rakyat?.
Atau memang sikap Chong sejak dahulu lagi suka jadi `penyibuk dalam rumahtangga orang lain’ kerana mahu mendapat publisiti?
Sebenarnya tidak pelik pun perangai Chong ini kerana beliau sebelum ini pun selalu mengeluarkan kenyataan berkaitan kementerian yang bukan bidang kuasanya selama menjadi menteri.
Antara yang perasan dan pernah menegur perangai `gila publisiti’ Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ini ialah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Harga makanan naik, harga bawang naik tetapi apa yang dia (Chong) buat untuk tangani masalah ini?. Kita (rakyat) mahu melihat dia buat kerja di bawah kementeriannya, tanganilah harga barang-barang yang naik ini,” demikian teguran Abdul Karim kepada Chong menerusi temuramah dengan Gagodaily di pejabatnya di Kuching baru-baru ini.
Beliau membuat teguran itu susulan kenyataan Chong baru-baru ini yang memuji kejayaan pentadbiran kerajaan PH meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dari tangga ke-61 kepada ke-15 daripada lebih 180 negara.
Tidak menafikan ia pencapaian yang bagus, Abdul Karim bagaimanapun mempertikaikan tindakan Chong itu seolah-olah cuba menumpang dan mencari publisiti di atas kementerian lain, sedangkan gagal menangani masalah dalam kementerian sendiri.
“Bagi sayalah ia (kejayaan PH tangani rasuah) satu perkembangan yang bagus, kita gembira jika rasuah berkurangan di Malaysia, hanya menjadi persoalan saya ialah YB Chong ni dilihat `galloping on into the bandwagon of others’ (melompat masuk ke kereta orang lain), dia patut jaga kementeriannya sendiri tetapi selalu bercakap mengenai Pan Borneolah, rasuahlah yang mana di bawah skop orang lain atau multimedialah, apa terjadi kepada kementeriannya?,” ujar Abdul Karim pertikaikan sikap Chong.
Teguran rakan-rakan sama menteri ini wajar diberi perhatian oleh Chong. Beliau kini sudah pun menjadi menteri mewakili rakyat Sarawak di peringkat Persekutuan, maka inilah peluang baginya untuk menyelesaikan isu rakyat di bawah kementeriannya.
Apatah lagi kementeriannya mempunyai begitu banyak kepentingan kepada rakyat kerana bertanggungjawab mengawal harga barang.
Andai kata Chong cemerlang menjalankan tugas di kementeriannya dengan berjaya menurunkan banyak harga barang keperluan harian yang membebankan ketika ini, nescaya beliau mampu menjadi `hero’ di hati rakyat Sarawak.
Jadi YB Chong berhentilah `berkokok’ di reban orang lain, bersihkan dahulu `tahi-tahi ayam’ dalam reban sendiri. Buktikan anda adalah wakil rakyat PH dari Sarawak yang tepat diundi oleh rakyat sebelum ini.