Kerajaan Baru malam ini?
KELIBAT ABANG JO, SHAFIEE
PETALING JAYA: Di saat ini semua media tertumpu kepada satu sidang media penting yang dijangka akan berlangsung di Hotel Sheraton, di sini, malam ini.
Difahamkan, sidang media tersebut akan dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamed dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kesemua pemimpin yang menyokong Dr Mahahthir termasuk dari kem UMNO dan Pas dijangka hadir di hotel berkenaan malam ini.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor antara yang telah tiba hotel tersebut, yang menjadi lokasi pertemuan penyokong Mohamed Azmin.
Tengku Adnan yang tiba-tiba kira-kira jam 7 malam hanya tersenyum kepada media, sebelum dibawa masuk ke dalam bilik taklimat yang turut berada didalamnya pemimpin PKR.
Dijangka sidang media malam ini akan menjelaskan kedudukan sebenar komposisi gabungan parti kerajaan yang baharu.
Petang tadi, 20 kenderaan golongan kenamaan (VIP) dilihat memasuki pekarangan Istana Negara dengan diiringi polis pengiring.
Pengamal media yang berkampung di Istana Neraga sejak tengah hari tadi mendapati beberapa kenderaan jenis Proton Perdana dan Toyota Alphard dilihat memasuki Istana Negara pada jam 5.35 petang namun bukan melalui pintu utama.
Memetik sumber, kenderaan VIP tersebut dinaiki oleh pemimpin utama beberapa parti politik termasuk Dr Mahathir dan Mohamed Azmin.
Semua media tertumpu kepada satu sidang media penting yang dijangka akan berlangsung di Hotel Sheraton, di sini, malam ini.
Semua media tertumpu kepada satu sidang media penting yang dijangka akan berlangsung di Hotel Sheraton, di sini, malam ini.
Sementara itu, beberapa pemimpin UMNO yang menghadiri mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi enggan memberi sebarang kenyataan berhubung kehadiran mereka selepas mesyuarat tersebut berakhir sebentar tadi.
Mesyuarat khas yang berlangsung selama dua jam itu berakhir 6 petang tadi apabila mereka mula meninggalkan perkarangan Menara Dato' Onn.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut memohon maaf kepada media kerana beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung inti pati mesyuarat tersebut.
"Minta maaf saya tidak dapat beri apa-apa kenyataan. Mesyuarat ini turut dihadiri Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli MKT UMNO.
"Presiden Pas (Datuk Seri Hadi Awang) tak hadir pada pertemuan ini kerana mesyuarat ini hanya membabitkan ahli UMNO sahaja," katanya kepada media ketika ditemui, di sini, hari ini.
Terdahulu, beberapa mesyuarat melibatkan parti-parti politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang berlangsung hari ini sejak awal pagi ditengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara.
Semua mesyuarat itu telah menarik perhatian media tetapi perbincangan diadakan secara tertutup.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya.
Ia dipengerusikan oleh Dr Mahathir yang enggan mengulas semasa perdana menteri berusia 94 tahun itu diserbu pemberita semasa beliau meninggalkan premis itu.
Menyertai Dr Mahathir pada mesyuarat itu ialah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Setiausaha Agung Datuk Marzuki Yahya; dan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sementara di sebuah hotel yang tidak jauh dari ibu pejabat Bersatu, turut berlangsung pertemuan sejumlah pemimpin yang dipercayai dari kem Mohamed Azmin.
Antara pemimpin berkenaan ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).
Aktivis sosial, Hishamuddin Rais serta penasihat Azmin, Khalid Jaafar juga menyertai pemimpin-pemimpin itu.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dilihat berada di hotel sama tengah hari ini, menambah lagi spekulasi berkenaan pertemuan poltik yang berlangsung di Kuala Lumpur, dan sekitarnya.
Abang Johari mempengerusikan mesyuarat bersama anggota parlimen dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) selama dua jam dan meninggalkan Hotel Ritz Carlton pada kira-kira pukul empat petang.
Beliau kemudian kembali pada kira-kira pukul 5.30 petang. Shafie tiba tidak lama kemudian.
Ketika Abang Johari sudah meninggalkan hotel itu, sejumlah anggota parlimen dan pemimpin parti dilihat masih berada di sana.