Kerja di sekolah daif sudah mula, Chong
KUCHING: Kerja-kerja membaik pulih 21 sekolah usang di negeri ini dijangka selesai tahun hadapan manakala 16 projek lagi kini sedang dikaji semula berikutan kos tinggi yang diberikan kerajaan negeri.
Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan semalam berkata, dua projek sekolah telah ditender pada 14 Jan dan kerja telah bermula dan dijangka siap Julai 2021.
Katanya, empat lagi projek sekolah ditender pada 14 Feb dan dijangka siap pada Ogos tahun 2021.
“Sebanyak 15 projek tender akan diberikan pada Mac 2020 dan dijangka selesai pada Sep 2021.”
“Manakala 16 projek sekolah, nilai dan skop yang akan dikaji semula oleh JKR Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan tender akan dipanggil pada bulan Mac, 2020,” katanya.
Beliau berkata, penganugerahan tender dijangka pada Mei, 2020 dan kerja diharapkan selesai pada bulan Nov 2021.
Semakan nilai dan ruang lingkup 16 projek sekolah adalah perlu kerana Kerajaan Negeri telah melampirkan kos yang terlalu tinggi berkenaan dengan pembaikan 16 sekolah tersebut, ujarnya.
Chong mengeluarkan kenyataan itu susulan dakwaan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Selasa bahawa Kerajaan Persekutuan tidak menepati janji untuk membaik pulih sekolah usang di negeri ini.
“Ketua menteri itu sepatutnya bertanya kepada pihak JKR Negeri mengenai kemajuan atau kelewatan dalam pelaksanaan projek tersebut, bukannya melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Kerajaan Pakatan Harapan.”
“Melihat kepada kemajuan kesemua 37 projek baik pulih sekolah ini, saya tidak fikir bahawa JKR Negeri sengaja melengah-lengahkan projek itu untuk mensabotaj projek-projek yang dibiayai kerajaan persekutuan,” katanya.
Beliau berkata hanya semasa pemerintahan Pakatan Harapan bilangan sekolah usang berkurangan kerana mereka memandang serius isu pendidikan dan kebajikan pelajar di sekolah luar bandar.
Pada 4 Ogos 2019, ketua menteri mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah membayar semula hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM350 juta.
Projek pembaikan sekolah yang usang dari peruntukan RM350 juta itu adalah betul dari permulaan yang dijalankan oleh JKR Negeri dan 37 buah sekolah yang akan dibaiki juga dipilih oleh Kerajaan Negeri.