LPKP bantu perkhidmatan bas percuma
KUCHING, 20 Feb: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak bersedia membantu kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma di empat bandar utama di negeri ini yang dijangka bermula April depan.
Pengerusinya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Wong King Wei berkata demikian malahan beliau mengalukan kerajaan negeri memulakan perkhidmatan terbabit di negeri ini yang akan banyak manfaatnya kepada rakyat Sarawak.
"Itu tidak ada masalah, saya mengalukan itu, setakat ini ia tiada kaitan dengan LPKP kerana mereka (kerajaan negeri) tidak memohon lesen (bas sekolah) yang baharu," katanya ketika melapor sebagai Pengerusi LPKP Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar, Simpang Tiga, di sini, hari ini.
King Wei berkata pihaknya juga tiada masalah atau isu bagi kerajaan negeri mengunakan lesen bas sekolah sedia ada bagi memulakan perkhidmatan percuma terbabit selagi tidak melanggar sebarang syarat pemberian lesen itu yang dikeluarkan LPKP.
"Kalau mereka (kerajaan negeri )
mahu membuat perubahan pada syarat (lesen) itu, saya percaya mereka boleh membuat permohonan yang betul, kami pasti akan membantu,"katanya.
Katanya ini kerana bas sekolah ada syarat berkaitan laluan yang dilaluinya dan mungkin perkhidmatan bas sekolah percuma perlu mengubah syarat terbabit untuk beroperasi secara sah.
"Sepatutnya tiada permainan politik sekiranya melakukan sesuatu yang baik diberikan kepada rakyat. Tiada permainan politik terutama jika kita mahu menambaibaik pengangkutan awam di bandar, dan tiada permainan politik bila kita membincangkan tentang mobiliti bandar yang penting bagi menambah baik ekonomi,"katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kerajaan negeri yang mengumumkan akan menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma di empat bandar utama di negeri ini iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bermula April depan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata butiran perkhidmatan bas sekolah percuma itu telah siap dan kerajaan negeri memerlukan RM4 juta untuk melaksanakan inisiatif tersebut.
tamat
keterangan gambar;
1.Wong King Wei (tujuh dari kanan) bersama kakitangan LPKP Sarawak selepas melapor diri sebagai Pengerusi LPKP Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.