KKR serap kakitangan Pan Borneo LBU?


KUCHING, 20 Feb: Kementerian Kerja Raya (KKR) merancang menyerapkan sebahagian kakitangan Lebuhraya Borneo Utara (LBU) yang hilang pekerjaan ke dalam kementerian terbabit selepas ini.

Ini berikutan keputusan kerajaan pusat menamatkan khidmat kontrak LBU sebagai Project Delivery Partner (PDP) bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini berkuatkuasa hari ini dan projek itu diambil alih sepenuhnya KKR dengan kerjasama JKR Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata kementerian itu akan menyerap kakitangan terbabit sekiranya itu boleh dilakukan manakala kakitangan LBU tidak boleh diserapkan dalam kementerian itu akan dibuka ruang diserapkan dalam struktur lain.

"Kita sudah ada perancangan untuk itu. Yang itu (masih tidak dapat diserapkan dan akan dihentikan ), kamu tahu ada peraturan dan undang-undang buruh, jadi kalau ada tuntutan atau pampasan, sudah tentu kami akan menghormatinya,"katanya ketika mengadakan sidang media mengenai projek itu di ibupejabat Jabatan Kerja Raya (JKR ) Sarawak di Wisma Saberkas, di sini, hari ini.

Baru Bian berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar pekerja LBU akan kehilangan pekerjaan tetapi sebelum ini pihaknya ada dimaklumkan ada seramai 500 pekerja dan kontraktor berada dalam struktur LBU sebelum ini sebagai PDP projek itu.

"Kami akan berusaha sebaik mungkin menyerap mereka, dan keutamaan akan diberikan kepada warga tempatan,"katanya.

Sebelum ini LBU dalam kenyataan berkata, kesejahteraan pekerja menjadi kebimbangan utama pengurusannya meskipun kakitangan telah diberi faedah pampasan untuk membantu mengekalkan dan membantu meringankan beban sementara mereka mencari pekerjaan baru.

Program bantuan pekerja untuk mempersiapkan kakitangan yang terjejas telah dijalankan oleh Jabatan Sumber Manusia LBU.

Manakala bagi membantu kakitangan mendapatkan pekerjaan, jabatan itu juga telah memberi masa kepada kakitangan untuk menghadiri temuduga.
tamat

keterangan gambar:

1.Baru Bian berucap di Majlis Hala Tuju Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Penamatan Kontrak Rakan Pelaksana Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di JKR Sarawak, Wisma Saberkas, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel