JPN Sarawak banyak Khidmat Istimewa


Banyak rupanya perkhidmatan istimewa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak diketahui orang Sarawak


AKHIR tahun 2019, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan permohonan maaf susulan seorang pencarum yang merupakan pesakit kanser terpaksa diusung ke pejabat KWSP Johor Bahru bagi menyempurnakan proses pengeluaran caruman.


Permohonan maaf KWSP itu dibuat ekoran status Facebook seorang netizen, Nur Sheila Abdullah yang menjadi tular di media sosial yang mendedahkan kakaknya berusia 56 tahun, seorang pesakit kanser tahap 4, terpaksa diusung oleh keluarganya ke pejabat KWSP bagi mengeluarkan baki dari akaunnya.


Kisahnya bermula apabila pegawai KWSP berkeras meminta kakaknya yang terlantar di atas katil datang sendiri ke pejabat jabatan itu untuk pengesahan cop jari menggunakan mesin dan enggan melayan permohonan keluarganya agar membuat lawatan ke rumah bagi mendapatkan cop jari secara manual dan pengesahan diri pencarum. 


Setelah kecoh `satu Malaya’ tentang kisah sedih pelanggan malang itu, KWSP akhirnya memohon maaf atas segala kesulitan berlaku dan berjanji untuk menambahbaik tahap perkhidmatan pada masa akan datang.


Mengambil iktibar daripada kes tersebut, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak seboleh-bolehnya mahu menyenangkan semua pelanggan yang berurusan dengan mereka termasuklah golongan yang memerlukan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.


Pengarah JPN Sarawak, Abang Noraffian Abang Ibrahim memberitahu, ada banyak perkhidmatan disediakan JPN khusus untuk memudahkan pelanggan berurusan dengan jabatannya tetapi mungkin ramai yang tidak tahu.


Antara perkhidmatan disediakan JPN khusus untuk warga emas, OKU dan pesakit kronik ialah `mobile ehsan’ iaitu khidmat gantian dokumen pengenalan diri kepada tiga individu kategori ini tanpa perlu mereka hadir ke pejabat JPN.


Apa yang perlu dilakukan ialah ahli keluarga hanya perlu menghubungi Bahagian Khas JPN Sarawak di talian 082-237872 atau 082-242 221 untuk membuat temujanji dan pegawai JPN akan datang ke hospital, pusat jagaan dan rumah pelanggan untuk memproses permohonan tersebut.

“Perkhidmatan ini memang disediakan di seluruh Sarawak tetapi mungkin ramai yang belum tahu sebab itu kita lihat masih ada ramai warga emas datang ke pejabat JPN berkerusi roda dan kita simpati dengan keadaan mereka. Khidmat `mobile ehsan’ ini salah satu cara kita bantu maknanya mereka (pelanggan memerlukan) tidak perlu datang ke pejabat JPN.

“Mobile ehsan juga menawarkan perkhidmatan sama kepada mangsa-mangsa bencana contohnya rumah terbakar. Kita faham di Sarawak banyak kes rumah panjang terbakar maka `mobile ehsan’ adalah satu cara kita membantu penduduk khususnya di luar bandar,” katanya dalam temuramah bersama Gogodaily di pejabatnya di Kuching baru-baru ini.

 Selain `mobile ehsan’ Abang Noraffian memaklumkan, JPN Sarawak juga ada memperkenalkan beberapa inisiatif khususnya untuk membantu urusan membuat dokumen pengenalan diri bagi rakyat Sarawak.


Ini perkhidmatan-pertkhidmatan lain yang disediakan JPN Sarawak :


1. Rapid Response Team (RRT)

RRT adalah penjenamaan semula kepada `mobile bus’ iaitu perkhidmatan bas bergerak ke kawasan-kawasan yang memerlukan khususnya luar bandar yang hanya boleh dihubungi dengan jalan darat.

Melalui inisiatif ini, pasukan RRT boleh pergi dan boleh berada di lapangan untuk membuat proses permohonan apa dokumen-dokumen pengenalan diri dan kebanyakan program disertai ialah anjuran agensi kerajaan peringkat Persekutuan atau negeri di kawasan luar bandar.


2. Unit Khas Bergerak (UKB)

UKB ialah unit ditubuhkan khas oleh JPN pada tahun 2010 berperanan memberi fokus kepada penduduk pedalaman  Sarawak yang tidak mampu dan sukar hadir ke mana-mana pejabat JPN untuk membuat dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan .

Unit ini yang hanya terdapat di Kuching, Bintulu dan Miri akan bergerak ke pedalaman yang memerlukan perkhidmatan itu jika ada permintaan dan permohonan.

Pegawai JPN yang bertugas akan berada di lokasi kunjungan selama beberapa hari untuk membantu penduduk membuat dokumen pengenalan diri.

Perkhidmatan ini amat diperlukan oleh penduduk luar bandar terutama masyarakat Penan terdiri daripada petani yang terpaksa mengeluarkan kos antara RM300 hingga RM1,000 untuk menyewa kenderaan pacuan empat roda (4WD) bagi perjalanan pergi balik ke bandar untuk membuat dokumen pengenalan diri.


3. Hari Bertemu Pelanggan (HBP)

HBP ialah platform untuk beri penerangan kepada orang awam berkenaan perkhidmatan diberi JPN yang diadakan sekali setiap bulan di pejabat JPN.

Selain itu, pegawai JPN juga akan turun lapangan pergi ke kampung dan rumah panjang untuk mengadakan pameran, memberi maklumat, khidmat nasihat kepada orang awam tentang proses serta prosedur membuat dokumen pengenalan diri secara teratur dan sistematik.


4. Eksekutif Pelanggan 

Khidmat Eksekutif Pelanggan disediakan di kaunter JPN di mana pegawai bertugas secara bergilir akan membantu pelanggan yang datang berurusan bagi melancarkan proses urusan di kaunter.

Ini kerana ada pelanggan yang memohon dokumen pengenalan diri tidak tahu atau mahir mengisi borang. Di sini, pegawai Eksekutif Pelanggan dikehendaki mempraktikkan konsep daripada biasa-biasa kepada luar biasa dengan kaedah menegur dan membantu pelanggan, memberi elemen mengembirakan pelanggan yang datang dengan meninggalkan pengalaman terbaik kepada mereka.


Menjelaskan mengenai fungsi JPN pula, Abang Noraffian menjelaskan, tanggungjawab pertama jabatan itu ialah mendaftarkan semua kelahiran berlaku di Sarawak, kedua mengeluarkan kad pengenalan kepada individu mereka yang layak, ketiga menerima permohonan kewarganegaaan, keempat mendaftar perkahwinan bagi pasangan bukan Islam yang berkahwin secara sivil.

Selain itu, JPN juga menyediakan perkhidmatan daripada segi pentadbiran, penguatkuasaan akta atau ordinan undang-undang yang berkaitan dan terakhir kelima ialah khidmat sokongan.

“Asas urusniaga JPN ialah memproses perjalanan hidup seseorang individu bermula dengan daftar kelahiran, mendapatkan surat beranak atau sijil lahir, mendapatkan kad pengenalan apabila genap usia 12 tahun, mendaftar perkahwinan bila individu itu berkeluarga dan akhir sekali mendaftar kematiannya nanti”, jelasnya.






LihatTutupKomentar
Cancel