Covid-19 : Conman jual topeng di Facebook, peniaga rugi lebih RM266,000


SIBU : Ketika orang ramai dibelanggu ketakutan dan berduka akibat menularnya wabak koronvirus (Covid-19), ada juga manusia tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas isu yang berlaku untuk mengaut keuntungan.


Amat menyedihkan ialah ada individu menyamar sebagai penjual topeng muka di media sosial untuk memperdayakan orang ramai yang terdesak mahu mendapatkan alat itu bagi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19.


Antara menjadi mangsa ialah seorang ahli perniagaan di Jalan Cheku Road di sini, yang kerugian lebih RM266,000 setelah ditipu oleh seorang `penjual’ topeng muka di Facebook gara-gara mahu membantu rakannya dari Singapura.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komissioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa berusia 36 tahun dihubungi rakannya dari Singapura pada jam 7 malam, 9 Februari lalu yang meminta bantuan untuk membeli topeng muka kerana ia sudah kehabisan stok di republik itu.


“Mangsa kemudian cuba membantu rakannya dengan memuat naik status di Facebook mencari penjual topeng muka dan tidak lama kemudian menerima mesej daripada seorang lelaki menggunakan nama Heston Seah mendakwa boleh membekalkan topeng muka dengan harga Singapura dollar (SDG) 14 sekotak.


"Dia kemudian menempah 20,000 kotak topeng muka bernilai SDG88,690 atau kira-kira RM266,153 dan meminta rakannya membuat pembayaran ke dalam satu akaun OCBC Bank Singapore," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Stanley berkata, setelah rakannya membuat pembayaran melalui transaksi atas talian, topeng muka yang ditempah masih belum diterima sehingga kini.


Beliau berkata, mangsa akhirnya menyedari telah ditipu lalu membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.




LihatTutupKomentar
Cancel