Klinik swasta tanpa lesen, jual cuti sakit
GEORGE TOWN, 18 Feb -- Sebuah klinik swasta di Lebuh Naning, di sini disita kerana bukan sahaja beroperasi tanpa lesen yang sah malah turut menjual sijil cuti sakit kepada orang ramai tanpa perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
Klinik yang beroperasi sejak 16 tahun lepas itu disita dalam operasi pada 3 petang semalam oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.
Berdasarkan maklumat pihak CKAPS JKN, Bahagian Farmasi membuat pemeriksaan di klinik itu pada 2018 dan telah diberi amaran kerana didapati ada ubat yang telah tamat tarikh luput malah sistem pendaftaran dan rekod kesihatan pesakit tidak teratur.
Sumber itu berkata pemeriksaan berikutnya mendapati keadaannya masih sama dan pada 10 Dis tahun lepas pihak JKN telah menarik lesen klinik itu namun pemantauan mendapati klinik itu masih beroperasi dan menjual sijil cuti sakit difahamkan pada harga RM10 sehari.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi Bernama mengesahkan klinik itu disita dan disiasat menurut Seksyen 91(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
-- Bernama