KPM lakukan siasatan dalaman insiden pelajar cedera ketika latihan memanah

KUALA LUMPUR, 8 Feb -- Kementerian Pendidikan telah menggerakan siasatan dalaman untuk menyemak sama ada semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi semasa latihan memanah dijalankan di SMK Gurun, Kedah pada 6 Feb lepas, yang menyaksikan seorang pelajar cedera akibat tertusuk anak panah. 

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap pihak yang tidak mematuhi SOP, terutamanya aktiviti-aktiviti yang melibatkan peralatan sukan yang boleh mendatangkan kecederaan.

“Tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang,” menurut kenyataan kementerian itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu tindakan segera di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah telah diambil untuk membantu pelajar berkenaan dan keluarganya dari segi kebajikan, kaunseling dan tuntutan insurans. 

Dalam kejadian 6 Feb lepas seorang pelajar lelaki Gurun, Kedah, mengalami pengalaman mengerikan apabila sebatang anak panah tertusuk di bahagian mata kirinya dan menembusi sehingga ke telinga secara tidak sengaja semasa beliau bersama sekumpulan pelajar sedang menjalankan latihan memanah di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes itu dan akur semua prosedur perundangan sedia ada.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa kementerian akan terus memberi peringatan kepada jurulatih sukan khasnya dan semua guru amnya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan murid, sebelum, semasa dan selepas aktiviti atau latihan sukan dijalankan.

Pihak pentadbir sekolah turut diingatkan agar aktiviti murid di sekolah sentiasa diiringi oleh guru dan peralatan sukan berisiko dikendalikan dengan selamat.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel