ART akan diperluas di Sibu
SIBU: Pengangkutan awam yang menggunakan Sistem Autonomous Rapid Transit (ART) akan diperluaskan ke seluruh Sarawak termasuk Sibu selepas kejayaan operasi di Kuching-Samarahan pada tahun 2025.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak mempunyai pelan induk untuk memperkasakan pembangunan Sibu.
"GPS mempunyai agenda untuk Sibu. Kita hendak memperbesarkan kawasan Sibu termasuk Kampung Datu, Kemuyang, Bandar Moden Nangka Baharu, Bukit Assek termasuklah memperluaskan ART ini ke Sibu.
"Selepas ART berjaya beroperasi di Kuching dan Samarahan kelak, kita akan beri kepada kawasan lain termasuklah Sibu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran GPS Zon 9 Sibu di Dewan Suarah Sibu semalam.
Abang Johari berkata, pelbagai pembangunan seperti pelaksanaan jalan raya Sibu Jaya-Lanang yang kini sedang dilaksanakan, projek jalan raya baharu Hospital Sibu-Kemuyang akan memberi impak besar kepada rakyat dari segi ekonomi dan sebagainya.
"Begitu juga dengan rancangan untuk membangunkan semula kawasan penempatan Bukit Assek.
"Kawasan lain seperti kawasan Cina, Melayu dan sebagainya juga akan kita bangunkan. GPS tidak berjanji kosong dan kita akan laksanakan. Apa yang penting kita mahu mandat dari rakyat khususnya di kawasan Sibu.
"Sekiranya GPS berkuasa kita tahu apa nak buat untuk penduduk Sibu," tegasnya.