Ladang sawit rugi RM222,760


MIRI: Sebuah syarikat perladangan di Kuala Baram terjejas teruk apabila kira-kira 2,284 pokok sawit di kawasan seluas 15.43 hektar musnah akibat kebakaran tanah paya gambut.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, kerugian yang dialami dianggarkan berjumlah hampir RM222,760.

Beliau dalam satu kenyataan semalam berkata, kawasan itu yang bersempadan dengan lot 3711 terbakar sejak 22 hingga 25 Feb lalu.

“Keseluruhan kawasan yang terjejas termasuk Kuala Baram, Go-Kart dan Eastwood ialah 80 ekar. Daripada jumlah itu, 70 ekar masih berasap dan 10 ekar sudah berjaya dipadamkan.

Katanya, pasukan bomba turut dibantu pasukan respons kecemasan (ERT) pemilik tanah untuk memadam saki baki api dan asap di Lot 3711.

Untuk kawasan ladang tembikai berdekatan Go-Kart pasukan bomba turut dibantu oleh tiga jengkaut dari Woodman untuk membuat fire break dan pemadaman.

Law menambah, saban tahun pihak bomba berhadapan dengan situasi yang mencabar untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Katanya, ketiadaan pengawasan dari empunya tanah menyebabkan kawasan ini mudah dicerobohi.

“Tugas empunya tanah adalah untuk mengawal tanah sendiri,” katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel