Liridon berpeluang beraksi menentang UAE

Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi berpeluang diturunkan pada aksi saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia di Dubai, Mac depan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata pihaknya kini sedang berusaha, memastikan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu didaftarkan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain pada 20 Mac depan.
Liridon, 28, akan melengkapkan tempoh lima tahun beraksi di Malaysia pada 25 Mac depan, yang merupakan salah satu syarat ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebelum seseorang pemain naturalisasi dibenarkan beraksi.

“Setelah kita buat penyelidikan dan perbincangan, kita rasa tiada halangan untuk Liridon mewakili Malaysia dalam masa terdekat. Berdasarkan pengiraan tempoh lima tahun, kita yakin beliau boleh didaftarkan dalam pasukan kebangsaan, sebelum perlawanan menentang UAE.
“Kita hanya perlu tunggu pengesahan daripada FIFA dalam seminggu dua ini, kerana mereka mungkin mempunyai kaedah pengiraan tertentu. Sekiranya semua dokumentasi dan ketetapan pengiraan kita buat itu betul, Liridon akan bersama pasukan kebangsaan,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini. 

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, dijadual menentang UAE dalam saingan Kumpulan G pusingan kelayakan di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 26 Mac, sehari selepas Liridon genap lima tahun beraksi di Malaysia.
UAE baru-baru ini ‘mengimport’ tiga pemain baharu dari Amerika Latin - Sebastian Lucas Taglibue (Argentina) serta Caio Canedo Correa dan Fabio Virginio de Lima dari Brazil, sebagai usaha menguatkan  pasukan.

Liridon yang pernah beraksi bagi pasukan Melaka dan Kedah bakal menjadi pemain naturalisasi kedua negara, selepas pemain sayap Pahang Mohamadou Sumareh, menyarung jersi negara pada 2018.

Dalam pada itu, Stuart berkata pemain kelahiran Kosovo yang sah menjadi warganegara Malaysia  selepas menerima kad pengenalan (MyKad) di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya hari ini, begitu teruja untuk merealisasikan impiannya mewakili pasukan Malaysia.

“Dia (Liridon) tanya saya bila panggilan ke skuad kebangsaan, itu adalah soalan pertama bila jumpa saya hari ini dan itu menunjukkan keghairahan beliau untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan,” jelas Stuart.

Pada masa sama, Stuart berkata proses naturalisasi penyerang Perak Guilherme De Paula, yang turut berada di dalam radar FAM, akan diketahui dalam tempoh terdekat.

“Permohonan De Paula memerlukan sedikit masa lagi kerana ada beberapa perkara lagi untuk diselesaikan, bagi memastikan kita memenuhi segala ketetapan FIFA. Saya harap ia dapat diselesaikan dalam satu hingga dua minggu lagi, bagi memastikan De Paula dapat menyarungi jersi kebangsaan,” katanya.

 
LihatTutupKomentar
Cancel