Lucut kewarganegaraan selepas mengundi di negara asing?
KUCHING: Bekas Adun Pujut daripada DAP Dr. Ting Tiong Choon boleh dilucutkan kewarganegaraan kerana pernah menggunakan hak mengundi di Australia.
Mengikut laporan Dr. Ting Tiong Choon bukan sahaja mendapat kerakyatan Australia malah berdaftar sebagai pengundi di Daerah Port Macquarie dalam kawasan pihak berkuasa tempatan Port Macquarie-Hastings.
Ini adalah berdasarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa warga Malaysia boleh dilucutkan kewarganegaran jika memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara dan menggunakan hak mengundi negara itu.
Menurutnya, tindakan pelucutan bagi kesalahan itu boleh diambil di bawah Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pelucutan boleh dilakukan jika warga negara itu menuntut dan menggunakan hak atau keistimewaan yang diberikan secara khusus kepada seseorang warga negara asing seperti hak undi bagi pemilihan politik di negara asing berkenaan.
"Laporan mengenai apa-apa kesalahan oleh seseorang warganegara Malaysia yang boleh diambil tindakan pelucutan kewarganegaraan, boleh dikemukakan mana-mana pihak seperti agensi kerajaan atau orang perseorangan.
"Bagaimanapun, laporan yang dikemukakan perlulah mengandungi butiran mengenai individu yang dilaporkan serta bukti yang relevan bagi membantu siasatan lanjut oleh JPN.
"Laporan yang tidak disertakan dengan bukti akan menyukarkan siasatan, menyebabkan fail kes tidak kukuh dan seterusnya tindakan pelucutan kewarganegaraan tidak dapat dijalankan," katanya.
Sementara itu, Pas Sarawak menggesa agar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon dilucutkan kewarganegaraannya mengikut peruntukann (1) Perkara 24.
Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee menegaskan, perkara yang berlaku oleh bekas wakil rakyat dari parti DAP itu jelas tidak bertanggungjawab apabila menipu rakyat di DUN Pujut dengan menyembunyikan kerakyatan yang dimiliknya itu.
Katanya, Pas turut mendesak agar kerajaan negeri menilai kedudukan semula elaun dan peruntukan yang telah diambil oleh Dr Ting selama tempoh beliau menjadi ADUN.
“Pas Sarawak juga menyeru pihak berkuasa mengkaji semula mana-mana wakil rakyat di negara ini yang mempunyai dua kerakyatan supaya mereka boleh mengambil tindakan.
“Semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana wakil rakyat yang memiliki dua kewarganegaraan boleh menyuarakan kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan,” katanya menerusi kenyataan.
Dt Ting melepaskan kerakyatan Australia dan ia diterima secara sah oleh kerajaan negara itu pada 4 April 2016.
Selepas 20 hari penyerahan kerakyatannya disahkan Australia, Ting muncul sebagai calon Dap di DUN Pujut dalam PRN-11 pada 2016.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, Mahkamah Persekutuan membuktikan Adun Pujut daripada DAP Dr. Ting Tiong Choon memang pernah memohon dan memiliki kewarganegaraan Australia selain memiliki kewarganegaraan Malaysia.
"Kerana memiliki dua kewarganegaraan ini, DUN Sarawak pada 12 Mei 2017 melucutkan kelayakan Dr. Ting Tiong Choon sebagai Adun dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi membangkang," tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan melucutkan jawatan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut.
Menurutnya, Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan Dun Sarawak melucutkan kelayakan Dr. Ting sebagai Adun adalah sah sekali gus menterbalikkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching dan Mahkamah Rayuan sebelumnya.
"Saya menyanjung tinggi Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang telah dengan tanpa takut dan gentar membuat keputusan.
"Mereka menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan walaupun parti yang Dr. Ting wakili adalah sebahagian daripada pakatan yang memerintah Malaysia sekarang.
"Keputusan ini adalah satu amaran keras kepada mana-mana rakyat Malaysia supaya tidak sesekali cuba memohon dan memiliki kewarganegaraan negara asing serta pada masa yang sama masih mahu menikmati keistimewaan yang dimiliki oleh warganegara Malaysia," jelasnya.