Tebingan Batu Kawa siap Oktober depan
KUCHING: Tebingan Batu Kawa yang akan menjadi tarikan dan mercu tanda baharu buat Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan.
Kini, projek pembinaan Tebingan Batu Kawa melalui Fasa 2 (Sky Window to Temple Tian Sze Ye).
Fasa pertama projek RM10 juta itu telah dimulakan pada awal April tahun lalu.
Surat pelantikan kepada kontraktor untuk Fasa 2 melalui tender terbuka oleh Majlis Perbandaran Padawan.
Nilai kontrak RM3.189 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dengan tarikh penyelesaian jadual dalam tempoh lapan bulan.
Jeti turut dibina di tebingan Batu Kawa akan menjadi perhentian bot sekali gus penghubung Tebingan Kuching dan Tebingan Siniawan yang dalam pembinaan.
Projek Tebingan Batu Kawa telah dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang telah meletakkan meletakkan batu asas pembinaan projek berkenaan tahun lalu.
Beliau berkata, Batu Kawa sinonim dengan pekan bersejarah dan pastinya kerajaan negeri tidak mahu ketinggalan untuk memajukan pekan berkenaan.
“Sudah tentu kita mahu menaik tarafkan pekan ini, dan mengikut perancangan, tebingan sungai ini bakal menjadi tempat perhentian dan persinggahan bagi pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot dari Tebingan Kuching.
“Seterusnya kita juga akan membina Tebingan Siniawan sekali gus menjadikan jaringan perhubungan perkhidmatan bot yang bermula di Tebingan Kuching dan berakhir di Tebingan Seniawan,” katanya pada majlis peletakan batu asas pembinaan Tebingan Batu Kawa tahun lalu.