Pusat kuarantin mampu tampung 90 pesakit
KUCHING: Pusat kuarantin yang dirancang di Kolej Kesihatan Awam Kuching kini dalam keadaan siap siaga dan mampu untuk menampung sehingga 90 pesakit.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, sehubungan itu, Sarawak membuat persiapan dan bersiap sedia dengan kemudahan, logistik, doktor, jururawat dan pekerja kesihatan lain untuk menangani kemungkinan penyebaran wabak Covid-19 di negeri ini.
Katanya, ramai doktor dan kakitangan kesihatan termasuk unit lain dilatih untuk menangani situasi berkenaan.
"Latihan bermula sejak pertengahan bulan lalu dan kita mempunyai tenaga kerja mencukupi.
“Sekarang kita hanya fokus untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan pasukan sedia ada,” katanya ketika menghadiri taklimat perubatan dan taklimat logistik diberikan doktor dan wakil Jabatan Kesihatan Negeri, Hospital Umum Kuching, Institut Perubatan Komuniti Unimas dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri.
Uggah berkata, Unimas bersedia untuk bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mempercepatkan keputusan ujian makmal bagi menangani isu kelewata hasil ujian.
“Rancangan sedang dibuat untuk menghantar lebih banyak Borang Pengisytiharan Kesihatan untuk diedarkan di tempat pemeriksaan di Brunei bagi mengurangkan kesesakan menunggu di ICQS Sungai Tujoh.
“Pelawat ke negeri ini juga perlu mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa unit tambahan pengimbas suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri dan ICQS Sungai Tujoh.