Mana topeng muka percuma, Tan Kai
KUCHING,16 Feb: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak diminta memberikan topeng muka percuma kepada golongan warga tua di bandar raya ini berikutan wabak Covid-19.
Setiausaha Politik Ketua Menteri, Tan Kai berkata demikian kerana ketika ini topeng muka terbabit hanya ada diagihkan DAP Sarawak secara percuma kepada pelajar sekolah di bandar raya ini.
"Berikan (topeng muka) kepada mereka yang berumur 60 tahun dan keatas. Mereka yang maut kerana virus (Covid-19) adalah yang berusia tua,"katanya ketika mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Sri Dr Sim Kui Hian menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Hia Kor (CHKMUS) Sarawak di Dewan SJK (C) Chung Hua No 3, Jalan Padungan, di sini, malam tadi.
Tan Kai sehubungan itu meminta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Ehwal Penguna yang juga Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang juga menghadiri majlis itu memastikan kementeriannya menambah stok topeng muka bagi dapat diberikan kepada golongan tua di bandar raya ini.
"Ini berikutan topeng muka hanya tahan selama empat jam, kemudian akan dibuang pelajar sekolah (yang memakainya),"katanya.
Sebelum ini, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Stampin telah mengagihkan keseluruhannya sebanyak 30,000 topeng muka kepada murid semua sekolah rendah di kawasan terbabit bermula 31 Januari lepas.
Chong Chieng Jen berkata ini berikutan murid sekolah rendah antara kumpulan berisiko menghidapi penyakit Covid-19 yang sedang merebak ke seluruh dunia.
tamat
Keterangan gambar:
1.Chong Chieng Jen (dua dari kiri) dan Tan Kai (kiri) menerima cenderahati dari wakil Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Hia Kor (CHKMUS) Sarawak di Dewan SJK (C) Chung Hua No 3, Jalan Padungan, di sini, malam tadi.
2.Chong Chieng Jen (tiga dari kanan) bersama wakil Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Hia Kor (CHKMUS) Sarawak di Dewan SJK (C) Chung Hua No 3, Jalan Padungan, di sini, malam tadi.