MATTA Sarawak sasar pelancong India


KUCHING, 5 Feb: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak mensasarkan meneroka pasaran baharu negara India bagi menarik lebih ramai pelancong asing ke Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pengerusinya, Lina Tsen Pei Tsin berkata ini disamping berusaha menarik ketibaan lebih ramai pelancong asing dari pasaran sedia ada seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.

"Tahun ini, diharapkan dan akan datang tidak lama lagi ialah pasaran ( pelancong asing dari ) India, kami akan mempromosikan produk pelancongan Sarawak di pasaran India,"katanya ketika majlis pelancaran pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 MATTA Sarawak di Bangunan MBKS, Padungan di sini, hari ini.

Lina berkata India malahan menjadi sasaran seterusnya bagi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam usahanya meneroka pasaran baharu bagi pelancongan Sarawak berikutan syarikat penerbangan rantau ini termasuk Malindo Air ada menawarkan penerbangan terus ke India.

"Yang penting ialah Sarawak masih lagi selamat untuk (pelancong asing) mengembara.Imej ini yang perlu ditunjukkan kepada orang (negara) lain. Tiada siapa yang mahu mengunjungi negara yang tidak selamat,"katanya.

Katanya setakat ini berita mengenai kes Koronavirus di negara ini juga masih belum lagi menjejaskan keyakinan pelancong asing melawat Sarawak dan pihaknya akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan pelancongan negeri ini ke luar negara.

Sementara itu mengenai kedatangan pelancong China ke Sarawak, Lina berkata sebelum ini ada penerbangan terus dari China ke negeri ini tetapi kini penerbangan terbabit sudah dihentikan yang menyebabkan negeri ini tidak menerima ramai pelancong negara itu seperti Sabah dan negeri lain.

" Tetapi kita masih ramai menerima ( pelancong asing) yang lain dari Eropah, Amerika dan Kanada. Mereka masih terus datang ke sini bercuti, kerana mereka suka mengetahui tentang Borneo dan budaya kita serta juga seni Sarawak,"katanya.

Sehubungan itu Lina berharap orang ramai dan pelancong di Sarawak dapat menyokong usaha mereka menarik lebih ramai pelancong asing dengan mengunakan ejen pelancongan berlesen dan bukan ejen pelancongan haram.

Beliau berkata setakat ini seramai 188 ejen pelancongan dan pengembaraan berlesen di Sarawak menjadi ahli persatuan itu dan bilangan mereka semakin bertambah manakala di seluruh negara persatuan itu ada seramai 3,000 ahli.

keterangan gambar:

1. Lina Tsen Pei Tsin
LihatTutupKomentar
Cancel