Mayat Mohiden ditemui di sungai Kampung Tambirat
ASAJAYA: Mayat yang ditemui terapung di sungai Kampung Tambirat,di sini, pagi tadi disahkan sebagai Mohiden Mohamad, 44, lelaki yang hilang selepas pergi mencari ambal di pantai Kampung Sambir, Rabu lalu.
Pengecaman mayat tersebut turut dilakukan ahli keluarga mangsa berdasarkan pakaian dan gigi palsu yang dipakai.
Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hi berkata, mayat Mohiden dijumpai penduduk Kampung Tambirat pada jam 9.26 pagi.
"Mayat terbabit kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakan lanjut," katanya di sini hari ini.
Katanya, pihak Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 6.50 petang Rabu lalu.
Operasi mencari dan menyelamat(SAR) mangsa dimulakan jam 7 pagi semalam termasuk menggunakan anjing pengesan dan Pasukan Penyelamat Di Air(PPDA).
Mangsa keluar mencari ambal pada jam 9 pagi bersama seorang rakan kampungnya dan tidak balik ke rumah hingga jam 5 petang.