Andaikata ada PRU, sesuaikah PRN Sarawak diadakan bersama?


MALAYSIA masih lagi menjadi 'kerajaan tergantung'.

Baru sebentar tadi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu kenyataan menegaskan Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli bagi membentuk kerajaan baharu.

Terdahulu semalam, Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac ini bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Namun, usaha mencari penyelesaian melalui mesyuarat dicadangkan itu juga terbantut apabila Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan ia tidak akan berlangsung.


Hal ini gara-gara beliau mendapati surat dihantar Dr Mahathir tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap.

Akhirnya, rakyat masih lagi berteka-teki bilakah kemelut politik negara bakal berakhir, mungkinkah pilihan raya menjadi alternatif penyelesaian terakhir?.
Bercerita mengenai pilihan raya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada dua hari lalu ada ditanya pemberita semasa sidang media di Miri, adakah kerajaan Sarawak bersetuju jika pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak bersama pilihan raya umum (PRU) jika benar ianya berlangsung nanti?.
Enggan mengulas panjang, beliau hanya menjawab , keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat pada masa yang sesuai nanti.

Gogodaily berkesempatan menemubual Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Arnold Pujok untuk mendapatkan pandangannya adakah sesuai pilihan raya negeri dan Persekutuan diadakan serentak.

“Kalau diadakan bersama pilihan raya negeri bagi saya ia mungkin satu strategi yang tidak kurang sesuai sebab orang (pengundi) sekarang ini sudah mengalami apa yang dipanggil sebagai `election fatigue’ iaitu sudah penat dengan pilihan raya.

“Kita baru habis PRU lepas kemudian ada kemungkinan lagi PRU baharu, dan bakal berlangsung pula PRN di peringkat negeri. Bagi saya itu akan membuatkan orang menjadi penat dengan politik dan kalau kita tanya orang di peringkat bawahan, mereka semua mahu melihat kerajaan ini mula memerintah, kurangkan berpolitik,” katanya.

Dr Arnold yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UNIMAS menjelaskan adalah terlalu awal untuk mengadakan PRN Sarawak ketika politik di peringkat nasional belum lagi stabil.

Ujarnya, memang benar ada pihak berpendapat waktu ini paling sesuai mengadakan PRN disebabkan parti lawan daripada PKR dan DAP sedang lemah kerana mengalami krisis dalaman susulan ada pemimpin keluar parti .

Namun, katanya, tiada apa perlu dirisaukan oleh kerajaan Parti Gabungan Sarawak (GSP) sampai perlu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya kerana berdasarkan kajian di lapangan oleh beliau dan pelajarnya mendapati sokongan rakyat akar umbi terhadap GPS adalah tinggi ketika ini.

 “Saya selalu turun ke kajian lapangan membuat kerja-kerja lapangan bersama dengan pelajar dan kita juga berkesempatan menemuramah pengundi, ketua-ketua masyarakat dan sebagainya. 

Secara umum dapat kita melihat ramai yang masih menaruh harapan kepada pemimpin GPS untuk terus memerintah Sarawak kerana mereka berkata ini (GPS) adalah parti yang berasal dari Sarawa yang mampu memberi pembangunan kepada mereka.

“Bagi rakyat bawahan ini, mereka lebih memikirkan masalah-masalah asas walaupun orang kata sekarang ini kita berada dalam dunia politik baharu tetapi kalau kita pergi ke kawasan pedalaman di Sarawak bagi mereka yang baharu itu adalah jalan raya baharu, infrastrutur yang baharu kemudian bekalan air dan elektrik. Semua itu penting bagi mereka,” jelasnya.

Apa diperkatakan oleh Dr Arnold ada kebenarannya, jika memang GPS ada sokongan kuat pengundi kenapa perlu mahu mengadakan pilihan raya serentak.

Lebih baik susun kemas strategi untuk menawan hati pengundi kerana panjang lagi masa untuk DUN Sarawak dibubarkan sebelum tempoh matang pada Jun tahun depan.

LihatTutupKomentar
Cancel