Jangan boros berbelanja, Rentap
BETONG - "Jangan boros dan berbelanja sesuka hati dengan wang diterima serta membeli perkara yang tidak berfaedah setelah menerima wang pampasan yang diberikan" kata ADUN Layar, Gerald Rentap Jabu.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi Projek Rakyat 2019 yang berlangsung di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong dekat sini.
Tambahnya kita harus memikirkan tentang masa hadapan selain menguruskan keperluan keluarga yang memerlukan kita menyimpan untuk kepentingan bersama.
"Simpanlah sebahagian wang yang ada untuk anak-anak dan keperluan pada masa depan. Apatah lagi pada masa sekarang dimana ekonomi yang tidak ketentuan dan perlunya kita bersedia dengan kemungkinan yang ada.
"Dengan wang pampasan tanah ini juga kita perlu pandai untuk membelanjakan dengan berhemah tanpa boros dan tanpa melihat keperluan" katanya.
Seramai 144 orang pemilik tanah menerima cek sebanyak 168 keping yang bernilai RM8,347,092.01 yang terlibat dalam tiga projek rakyat 2019 iaitu Projek Cadangan Pembangunan Lapangan Terbang Baru Bukit Sadok, Betong, Projek Proposed Construction of the Sarawak Second Trunk Road (Package B4) : Batang Lupar Bridge No.2 at Sri Aman Town to Betong Interchange (at Pan Borneo Highway), Betong dan Projek Jalan Sekatap/Meribong/Nanga Jelau/Jelau Atas/Batu Lintang Betong.
Jelas Rentap, ini membuktikan bahawa setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh Kerajaan akan diberi pembayaran pampasan.
"Pembayaran pampasan tanah membuktikan bahawa Kerajaan tidak merampas tanah seperti didakwa oleh pihak tertentu.
"Kerajaan membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dimana tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
Tambahnya, kerajaan Sarawak yang diterajui GPS mengambil balik tanah untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana dan infrastruktur yang lebih sempurna.
"Rakyat perlu memahami serta menyedari hasrat murni Kerajaan dan memberi kerjasama serta menyokong pelaksanaan kerja demi kebaikan pada masa depan," tambahnya lagi.