MBKS kuatkuasa larangan penyedut minuman plastik 1 April
KUCHING, 5 Feb: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan mula menguatkuasakan larangan pengunaan penyedut minuman plastik bagi menikmati minuman dijual peniaga pusat penjaja makanan dalam kawasannya di bandar raya ini mulai 1 April depan.
Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng berkata demikian dan pihaknya juga akan melakukan percubaan penguatkuasaan larangan itu mulai 1 Mac depan bagi memberikan tempoh waktu mencukupi bagi peniaga pusat terbabit menghabiskan stok penyedut minuman mereka.
"Kami akan memulakan percubaan penguatkuasaan larangan (pengunaan penyedut minuman plastik di pusat penjaja makanan MBKS) 1 Mac depan. Selepas itu, kami akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan terbabit mulai 1 April depan,"katanya selepas merasmikan pelancaran pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak di Bangunan Ibupejabat MBKS, Padungan di sini, hari ini.
Wee berkata peniaga di pusat penjaja makann terbabit akan di denda sekiranya terus membekalkan penyedut minuman plastik kepada pelanggan selepas larangan terbabit bermula 1 April depan dan ini sudah dibincangkan MBKS bersama peniaga pusat terbabit pada satu mesyuarat dua hari lepas.
"Peniaga pusat terbabit juga telah menyatakan kekhuatiran yang pelanggan akan memarahi mereka sekiranya tidak mahu memberikan penyedut minuman plastik mulai 1 April depan,"katanya.
Sehubungan itu, pihaknya berharap penduduk bandar raya ini tidak memarahi peniaga pusat itu dan akan menghasilkan slogan menarik bagi menerangkan kepada mereka sebabnya penyedut minuman plastik terbabit perlu dihentikan pengunaanya kerana kesannya kepada alam sekitar.
"Salah satu slogam sedang saya pertimbangkan ialah lima minit dalam minuman, 500 tahun dalam lautan,"katanya.
Sementara itu, mengenai kadar denda sebanyak RM50 bagi peniaga yang gagal mematuhi larangan terbabit bermula 1 April depan, Wee berkata kadar denda terbabit hanya sebagai garis panduan bagi memulakan penguatkuasaan larangan itu sahaja.
Katanya kadar denda itu selepas ini akan diselaraskan supaya sama dengan pihak berkuasa tempatan lain termasuk Majlis Perbandaran Sibu yang juga bercadang menguatkuasakan larangan yang sama tidak lama lagi di Bandar Sibu.
tamat
keterangan gambar;
1. Dato Wee Hong Seng (empat dari kanan) meletakkan pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak pada cermin hadapan bas pelancongan sebagai merasmikan pelekat itu di Bangunan MBKS, Padungan di sini, hari ini.
2. Dato Wee Hong Seng (tujuh dari kanan) bersama ahli Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak selepas merasmikan pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 MATTA Sarawak di Bangunan MBKS, Padungan di sini, hari ini.