Projek bekalan air Kampung Panchor siap Julai 2020
SERIAN:Projek Bekalan Air Kampung Panchor Dayak Serian menelan kos sebanyak RM 4 juta dijangka siap pada
Julai 2020.
Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Anak Utom berkata,projek terbabit merangkumi kerja-kerja pemasangan paip sepanjang 2.3 kilometer dari Loji Rawatan Air Tapah ke Simpang Tangki Bukit Bukah, paip sepanjang 0.6 kilometer dari Tangki Bukit Bukah ke Simpang Tangki Bukit Bukah dan paip sepanjang 5.6 kilometer dari simpang Tangki Bukit Bukah ke Kampung Panchor Dayak dan kawasan di sekitar kampung tersebut.
"Pelaksanaan projek ini akan membantu untuk membekalkan bekalan air bersih dan terawat.
"Di samping itu, mengatasi masalah tekanan air rendah kepada 140 buah isi rumah di sekitar Kampung Panchor Dayak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Kampung Panchor Dayak di Dewan Serbaguna Kampung Pancor Dayak, Serian, hari ini.