Mewahnya menteri kabinet Malaysia

 



SEMALAM, Yang di-Pertuan Agong, 
Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membatalkan semua pelantikan menteri-menteri kabinet dilantik oleh Pakatan Harapan (PH) sejajar dengan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sejajar dengan pengumuman itu, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali memaklumkan, tugas-tugas anggota pentadbiran yang merangkumi Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri serta Setiausaha Politik turut terhenti berkuatkuasa tarikh sama.

Maka, hari ini bermakna kesemua menteri kabinet Malaysia kecuali Dr. Mahathir yang masih memegang jawatan Perdana Menteri secara interim secara automatiknya bukan lagi bergelar menteri atau bahasa mudahnya kini menjadi pengganggur.

Apa agaknya perasaan mereka yang belum cukup penggal memegang jawatan dengan gaji bulanan cukup lumayan dan sentiasa mendapat layanan istimewa sebagai orang-orang kenamaan (VVIP), tiba-tiba hilang sekelip mata kemewahan yang dinikmati?.

Ini bukan cakap kosong kerana jika rakyat biasa yang kerjanya sebagai tukang cuci, pelayan bahkan kerani misalnya hanya dibayar gaji asas minimum RM1,200 sebulan di Malaysia, gaji para menteri ternyata beratus kali ganda tingginya berbanding rakyat marhaen ini.

Memetik rencana ditulis Syahril A. Kadir dalam portal berita Malaysia Gazette, beliau berkata, jika dilayari Portal Perisytiharan Harta dibangunkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengungguli senarai nilai aset dan pendapatan yang diisytiharkan oleh para pemimpin dan wakil rakyat kerajaan PH di negara ini.

Menteri Kewangan dan Setiausaha Agung DAP itu berpendapatan sebanyak RM86,464.92 sebulan. 

Saifuddin yang menduduki tempat kedua dalam senarai tersebut itu mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM77,629.68. Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri mempunyai pendapatan berjumlah RM72,276.37.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (RM53,736.48); Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (RM50, 238,88); Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (RM51,236.48) dan Teresa Kok Suh Sim (RM68,142.66).

Untuk mengetahui lebih lanjut gaji-gaji menteri PH ini, anda boleh layari pendapatan Menteri-Menteri lain juga di laman web mydeclaration.sprm.gov.my.  

"Jumlah pendapatan itu termasuk gaji, elaun tetap, pendapatan diterima daripada sewaan seperti bangunan dan tanah dan lain-lain pendapatan yang diterima secara bulanan seperti gaji ahli lembaga pengarah".

"Mungkin tidak lengkap kalau tidak dinyatakan pendapatan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pendapatannya adalah kira- kira RM100,000 sebulan manakala Datin Seri Wan Azizah pula RM59,048,33," ujarnya.

Syahril turut memetik kenyataan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak lama dulu pernah mendedahkan, gaji dan elaun menteri kabinet PH adalah sama dengan apa yang dibayar kepada menteri Barisan Nasional (BN) cuma ditolak 10 peratus.

Katanya, menteri-menteri PH yang juga adalah ahli Parlimen, menikmati elaun yang sama seperti wakil rakyat lain kecuali elaun kehadiran RM400 sehari untuk menghadiri sidang parlimen. Beliau berkata selain elaun MP, menteri juga boleh menuntut elaun berikut secara bulanan.

Contohnya, kata Saifuddin, elaun keraian sebanyak RM12,000, elaun menteri Kabinet (RM4,000), elaun perumahan sebanyak RM4,000 (tidak boleh dituntut jika tinggal di kediaman rasmi), elaun pembantu rumah (RM2,500), elaun pemandu (RM2,500). Kesemua elaun tetap ini berjumlah RM25,000 sebulan.

Jelas Saifuddin, mereka juga diberikan elaun cuti, termasuk penerbangan kelas pertama atau perniagaan sekali setahun untuk menteri dan pasangannya, serta penerbangan kelas ekonomi untuk anak-anak mereka yang berumur bawah 21 tahun.

Para menteri juga, katanya, boleh menuntut elaun harian dan elaun makan jika mereka perlu melakukan perjalanan untuk kerja.

Wah....betul-betul mewah dan istimewa kedudukan menteri kabinet Malaysia. Pasti ada yang 'menangis' kini apabila Tuhan tiba-tiba menarik kembali nikmati yang dikecapi.

Itu cerita menteri kabinet Malaysia tetapi keadaan jauh berbeza dengan menteri kabinet di negara barat dan Eropah seperti Sweden yang mengungguli carta sebagai negara termaju tetapi merekodkan kes rasuah terendah di dunia.

Percaya atau tidak Ahli Parlimen Sweden langsung tidak mendapat sebarang  keistimewaan sebagai menteri kabinet dan dibayar gaji cukup sederhana.

Mungkin sukar untuk percayai bagi yang bukan warga Sweden, tapi hakikatnya negara itu tidak memberikan sebarang keistimewaan kepada ahli-ahli politiknya.

Portal berita BebasNews melaporkan, menteri di Sweden tidak diberikan kereta rasmi mahu pun pemandu. Menteri-menteri dan Ahli Parlimen sekadar menggunakan bas awam dan tren bersama rakyat biasa.

Tanpa sebarang kekebalan sebagai Ahli Parlimen, mereka juga boleh didakwa di mahkamah seperti orang lain.

Mereka tidak mempunyai setiausaha peribadi dan pejabat mereka pula tidak luas melaut tapi sekadar merupakan sebuah bilik kecil.

Bagi ahli politik yang berani membelanjakan duit awam untuk menggunakan teksi dan tidak menaiki tren dengan pantas akan menjadi tajuk berita di media.

Speaker Parlimen Sweden pula diperuntukkan sekeping kad pra-bayar untuk menggunakan pengangkutan awam.

Yang terkecuali hanya Perdana Menteri. Beliau diberikan keistimewaan untuk menggunakan sebuah kereta rasmi oleh pihak pasukan keselamatan secara tetap.

Semua Ahli Parlimen Sweden tinggal di pangsapuri kecil di ibu negara di mana mereka juga bertanggungjawab membasuh dan menyeterika pakaian sendiri menggunakan perkhidmatan dobi komuniti.

Cara hidup sebegitu ringkas mungkin payah difahami memandangkan status mereka yang dianggap penting, tetapi sebenarnya keadaan mereka sekarang lebih baik berbanding sebelum ini.

Sehingga akhir 1980, semua Ahli Parlimen hanya tidur di sofa dalam pejabat mereka.

Tiada siapa pun yang berkhidmat untuk negara dan rakyat menikmati gaji terlalu lumayan. Kadar gaji seorang Ahli Parlimen Sweden (Riksdag) hanya sekitar dua kali ganda gaji yang dibayar kepada guru sekolah rendah.

Bagi Ahli Majlis Perbandaran pula, mereka langsung tidak dibayar gaji mahu pun mempunyai pejabat. Mereka hanya bekerja dari rumah.

Satu lagi percaya atau tidak walaupun sebuah negara beraja seperti Malaysia,
Sweden adalah sebuah negara yang meletakkan pegawai kerajaan dan wakil rakyat sebagai rakyat biasa. 

Di negara itu tiada diberikan sebarang gelaran seperti Yang Berhormat (YB) atau gelaran-gelaran rasmi yang panjang berjela. Ini jauh berbeza dengan Malaysia yang hampir kesemua menteri atau golongan VVIP mendapat gelaran sama ada Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan Tun dikurniakan oleh raja, sultan, Yang di-Pertua Negeri dan Yang di-Pertuan Agong.

Di Sweden, semua ahli politik dan wakil rakyat di negara itu hanya dipanggil "awak” atau “kamu”. Ini kerana dalam sistem nilai masyarakat Sweden tiada siapa pun lebih daripada orang lain, termasuk ahli politik.

Keadaan di mana menteri atau Ahli Parlimen kelihatan menolak sendiri troli di pasar raya untuk membeli belah barangan keperluan dapur bukan sesuatu yang luar biasa di sana.

Ahli-ahli politik dilantik supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan bukan diri sendiri.

Dalam sistem kehakiman juga keadaannya sama. Hakim tidak diberikan keistimewaan seperti kereta rasmi, setiausaha atau kelebihan lain.

Dengan amalan dan peradaban sosial sedemikian, dalam hanya 100 tahun negara Sweden yang dahulunya amat miskin muncul sebagai antara negara paling kaya, adil dan rendah tahap gejala rasuah di dunia.

Apa menjadi amalan di Sweden ini wajar dicontohi oleh ahli politik dan pemimpin di Malaysia. 

Kepada kerajaan baharu yanb bakal mentadbir negara selepas ini, ambillah ikhtibar daripada apa yang berlaku dengan kerajaan 'setahun jagung' PH. Tuhan beri nikmat dan peluang untuk anda menjadi 'raja' dalam negara tetapi turut boleh menariknya bila-bila masa.


LihatTutupKomentar
Cancel