NRDA bangunkan lebih 50 sekolah daif di Lawas

LAWAS : Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) yang merupakan agensi pembangunan dibawah kerajaan Sarawak akan melaksanakan projek membina semula lebih 50 sekolah daif di daerah ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg yang difahamkan mengenai perkara berkenaan berkata, sebanyak 56 projek membina semula sekolah itu akan ditender.

“Hari ini saya difahamkan Lawas ini hendak membina semula sekolah daif. Bukan daripada kerajaan Pusat tetapi daripada NRDA sendiri. 56 akan ditender.

“Sekarang ini kita mempunyai masalah dengan kerajaan Pusat. Dulu beritahu, kami (persekutuan) akan membina semula sekolah daif tapi mesti bayar hutang. Bayar dulu (hutang) baru kami bangunkan kata Menteri Kewangan.

“Saya kata lagi kalau begitu (syaratnya) kami bayar dahulu hutang. Jadi kita bayar RM 350 juta tahun lepas dengan syarat bangunkan dahulu 37 buah sekolah daif. Sudah bayar duit, namun tidak dibina sehingga hari ini.” ujarnya ketika berucap di Majlis Pelancaran GPS Zon Lawas pagi Sabtu.



Dedahnya lagi pada bulan ini, sejumlah RM 350 juta telah dibayar oleh kerajaan Sarawak kepada kerajaan Pusat yang mana menjadikan keseluruhan hutang yang telah dibayar oleh Sarawak adalah berjumlah RM 700 juta.

“Bulan 2 ini, saya bayar lagi sepertimana saya janjikan kepada mereka (Persekutuan) sebanyak RM 350 juta, (menjadikan) RM 700 juta (namun) satu tiang pun tidak ada.



“Tapi di Lawas ini, dibawah NRDA, sudah nak tender 50 buah sekolah daif dengan duit kita sendiri, tidak menunggu duit mereka lagi walaupun duit yang kita bayar adalah duit kita sendiri kita bayar dahulu.” katanya.

Abang Zohari menambah usaha ini merupakan salah satu bukti bahawa kerajaan Sarawak merupakan kerajaan yang pandai mengurus kewangan mereka sendiri.
LihatTutupKomentar
Cancel