Perak tiada enakmen penyu
LUMUT, 22 Feb -- Jabatan Perikanan Perak berharap kerajaan negeri mewartakan segera enakmen atau peraturan perikanan berkaitan penyu dan telur penyu agar pengurusan serta kawal selia haiwan itu dapat dikuatkuasakan.
Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata pewartaan itu penting bagi memastikan telur penyu tidak sewenang-wenangnya diambil oleh orang awam sekali gus mengelak haiwan itu daripada pupus.
“Kami tidak boleh buat apa sebab tiada enakmen atau kaedah perikanan (diwartakan). Hanya Perak yang belum kuatkuasakan lagi berbanding negeri seperti Terengganu, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang, semuanya telah ada enakmen berkaitan penyu.
“Bagaimanapun kita dah bawa perkara ini kepada kerajaan negeri tahun lepas dan sekarang sedang tunggu keputusan untuk mewartakannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Pengembangan Jabatan Perikanan Negeri Perak dan Malakoff Save Our Sea di Teluk Senangin di sini hari ini.
Zaki dalam pada itu berkata sebanyak 12,000 biji telur daripada 103 ekor penyu agar direkodkan di Perak tahun lepas dengan 75 peratus daripadanya berjaya menetas, iaitu meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Seramai 300 peserta terdiri daripada pelajar Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut, Universiti Kuala Lumpur, kakitangan Majlis Pembandaran Manjung dan ahli Pasukan Sukarelawan Perikanan menyertai program itu.
-- Bernama
Kredit gambar FB Baby Sea Turtle