Pembinaan lapangan terbang Spaoh dijangka bermula dalam dua bulan lagi.
BETONG: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yakin pembinaan lapangan terbang Spaoh atau Landasan Berlepas dan Pendaratan Pendek (STOLport) akan bermula dua bulan lagi.
Beliau berkata, perancangan projek tersebut juga berjalan dengan lancar termasuk pihak kontraktor telah dilantik.
"Saya yakin bahawa kerja pembinaan projek ini boleh bermula dalam masa dua bulan dari sekarang," katanya semasa merasmikan jerayawara Gabungan Parti Sarawak (GPS) Bukit Saban di Rumah Lawrence Ludan di Luban Ulu, Spaoh, semalam.
Menteri Pertanian Moden, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu berkata, lapangan terbang itu merupakan faktor penting kepada usaha membangunkan kawasan Agropolitan Bukit Sadok.
"Dengan adanya lapangan terbang ini kita dapat memasarkan produk-produk pertanian tempatan.
"Ini adalah polisi kerajaan untuk membantu memasarkan produk pertanian rakyat dan dalam masa yang sama kita dapat mengelakkan pembaziran," tambahnya.
Justeru Uggah berharap pemilik tanah mengusahakan tanah mereka termasuk mempratikkan teknologi moden dan pertanian berasaskan perdagangan.
"Rakyat boleh mengusahakan pertanian secara individu atau usahasama dengan syarikat besar.
"Kita berhasrat untuk melihat petani menggunakan teknologi moden seperti teknologi fertigrasi atau hidroponik.
"Jabatan Pertanian juga sentiasa menyediakan bantuan termasuk latihan dan bimbingan," jelas beliau.
Uggah berkata, kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menitikberat pembangunan di luar bandar.
Oleh sebab demikian katanya, Abang Johari telah memperuntukan RM797 juta untuk membangunkan sektor pertanian pada tahun ini.
Mengenai politik Uggah yang juga Timbalan Presiden Parti PESAKA Bumiputera Bersatu (PBB) menyeru penyokong GPS terus menjadikan Bahagian Betong sebagai kubu kuat kerajaan negeri.
"Kita di Betong telah menunjukkan sokongan kuat kepada Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
"Namun sekarang kita telah keluar dari BN dan membentuk kerajaan GPS sendiri.
"Marilah kita bersama-sama mengekalkan sokongan padu itu kepada GPS yang memfokuskan usaha melonjak pembangunan sosial-ekonomi dan juga mempertahan hak serta kekayaan negeri," tambahnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat.