GPS ucap tahniah kepada Muhyiddin
GPS ucap tahniah kepada Muhyiddin
KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Md Yasin yang dilantik sebagai Perdana Menteri
Malaysia ke-8 hari ini oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jabatan Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan berkata, merujuk kepada satu sidang akhbar oleh Tan Sri Muhyiddin, ia mesti dijelaskan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukanlah ahli Perikatan Nasional tetapi hanya sebagai entiti politik di Sarawak yang memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin demi kepentingan negara dan menyelamatkan Malaysia daripada ketidakstabilan politik tanpa mengorbankan kepentingan
Sarawak.
"Pada masa ini GPS hanya akan menjadi parti politik yang mesra kepada Perikatan Nasional," jelas kenyataan tersebut.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri kelapan.
Menerusi kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan jam 4.29 petang ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan esok.
“Hari ini, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.
“Proses ini lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong, di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.
“Selepas mendapat representasi semua, pada hemat Seri Paduka, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh,” katanya.
Ahmad Fadil berkata, perlantikan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Perdana Menteri itu, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.