Pemimpin wajib setia kepada negara


Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

Malaysia ada lima prinsip Rukun Negara. Salah satu daripadanya ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Prinsip ini amat penting dan berada pada kedudukan kedua selepas Kepercayan Kepada Tuhan.

Namun sewaktu rakyat menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada Negara, rupa-rupanya ada ahli politik daripada DAP yang tanpa segan silu tidak berbuat demikian apabila memegang dua kerakyatan serentak.

Lebih malang, orang sebegini diangkat DAP sehingga menjadi wakil rakyat. Tunggang terbaliklah jadinya apabila rakyat yang setia, dipimpin oleh orang yang tidak berupaya memberikan kesetiaan mutlak kepada negara kelahirannya.

Ia memang pelik tapi tidaklah asing dalam DAP. Bukan sekadar memiliki dua kerakyatan malah ada pemimpinnya turun naik mahkamah kerana dituduh merogol amah dan terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.  

Dalam isu dua kerakyatan (bekas) ADUN Pujut, Dr. Ting Tiong Choon, mujurlah DUN Sarawak campur tangan dan melucutkan kelayakan Ting sebagai ADUN pada 2017 sekaligus mempertahankan kemuliannya sebagai penggubal polisi tertinggi negeri.

Usaha menegakkan hak Perlembagaan Sarawak bukannya mudah. Laluannya berliku apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan Mahkamah Rayuan berpihak kepada Ting.

Pelucutan itu dibuat melalui satu usul di DUN Sarawak kerana Ting memiliki kerakyatan Australia sejak Januari 2010. 

Tidak sekadar mendapat kerakyatan, Ting juga berdaftar sebagai pengundi di Daerah Port Macquarie dalam kawasan pihak berkuasa tempatan Port Macquarie-Hastings.

Selepas lima tahun iaitu pada 2015, barulah Ting melepaskan kerakyatan Australia dan ia diterima secara sah oleh kerajaan negara itu pada 4 April 2016. 

Selepas 20 hari penyerahan kerakyatannya disahkan Australia, Ting muncul sebagai calon DAP di DUN Pujut dalam PRN-11 pada 2016.

Ting menang dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).

Penyerahan kerakyatan itu dilihat banyak pihak semata-mata untuk menyertai PRN-11. Timbul persoalan, adakah Ting akan terus memegang dua kerakyatan jika tidak terlibat dalam PRN berkenaan?

Sebagai calon, Ting juga perlu menandatangani akuan bersumpah (Borang 5A) pada 22 April 2016 yang antaranya bagi mengesahkan dia bukanlah individu yang hilang kelayakan untuk menyertai pilihan raya berkenaan.

Sedangkan Perlembagaan Sarawak dalam Artikel 17 (I)(g) menyatakan dengan jelas seseorang individu itu kehilangan kelayakan menjadi ADUN sekiranya dia secara sukarela mendapat kerakyatan atau menunaikan hak sebagai seorang rakyat negara asing atau telah membuat ikrar taat setia kepada negara lain.

Persoalannya, adakah DAP telah bersekongkol dengan Ting untuk menyembunyikan soal kerakyatan Australia itu? Adakah Ting juga cuba mengelirukan SPR sewaktu menandatangani Borang 5A itu?

Adalah tidak masuk akal jika mereka mendakwa tidak arif peruntukan dalam Perlembagaan Sarawak berhubung kelayakan calon pilihan raya kerana ramai pemimpin kanan DAP terdiri daripada peguam yang digambarkan hebat-hebat belaka.

Barangkali mereka fikir dengan melepaskan kerakyatan Australia itu, sudah cukup untuk membuatkan Ting kembali layak menjadi calon dalam PRN-11. Sebegitu mudahkah proses 'penyucian' dibuat.

Ya, mereka berhak membuat pelbagai tafsiran sendiri tetapi Mahkamah Persekutuan lebih halus penelitiannya.

Pada Selasa, panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan majoriti 7-2 bahawa DUN Sarawak memiliki kata putus dalam pelucutan kelayakan Ting sebagai ADUN.

Ia sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching yang sebelum ini mengembalikan kerusi DUN Pujut kepada Ting.

Soal Ting sudah melepaskan kerakyatan Australia sebelum PRN-11 juga sudah tidak relevan kerana ia berada dalam bidang kuasa DUN untuk diputuskan dan prosidingnya tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Mahkamah Persekutuan juga menyatakan individu yang bercita-cita menjadi ADUN mestilah seseorang yang tidak boleh dipertikai kesetiannya kepada Malaysia yang Sarawak menjadi sebahagian daripadanya.

Malah katanya, Ting yang telah mendapat kerakyatan Australia masih tertakluk kepada penarikan kerakyatan Malaysia dibawah Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, penarikan balik kerakyatan itu adalah tindakan tegas terhadap rakyat Malaysia yang telah mendapatkan kerakyatan asing sekaligus menterjemahkan keseriusan Perlembagaan Persekutuan melihat tindakan berkenaan.

"Tujuannya adalah bagi menghalang rakyat daripada mendapatkan kerakyatan asing dan melepaskannya mengikut kehendak sendiri jika ia mendatangkan manfaat, namun pada masa yang sama enggan menyerahkan kerakyatan Malaysia.

"Sama ada dia kekal setia kepada Malaysia atau dia memberikan kesetiaan kepada negara asing yang memberi kerakyatan kepadanya. Dia tidak boleh memiliki kedua-duanya," katanya.

Semoga episod pelucutan kelayakan Ting oleh DUN Sarawak yang merupakan kes pertama seumpamanya di negara ini menjadi peringatan kepada semua pemimpin daripada parti manapun. Kesetiaan kepada negara tiada galang gantinya.

Layakkah pemimpin yang diragui kesetiaannya kepada ibu pertiwi memimpin kita semua? Jawapan anda tidaklah sukar untuk dijangka!


-------------------------------------------

*SAIFUL HAIZAN HASAM merupakan bekas Editor di sebuah akhbar nasional yang pernah memenangi dua Anugerah Kewartawanan Kenyalang Shell 2013 bagi kategori Laporan Berita Terbaik dan Laporan Alam Sekitar Terbaik.
LihatTutupKomentar
Cancel