Tiada paksaan rumah panjang tubuh MPKK


KUCHING, 12 Jan: Kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) tidak akan memaksa penghuni rumah panjang di Sarawak menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekiranya mereka enggan menubuhkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Dasar Rumah Panjang Negara (JDRPN) dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju berkata demikian dan menjelaskan ini kerana penubuhan majlis terbabit adalah secara sukarela bagi  penghuni rumah panjang di negeri ini dan terpulang kepada mereka menolak penubuhannya.

"MPKK ini bukan paksaan dia adalah secara sukarela dan tujuannya untuk menolong orang rumah panjang dari segi sosio ekonomi. Keperluannya (penubuhannya) atau penerimaanya tertakluk kepada rumah panjang atau kampung berkenaan, kita tak ada paksaan atau mesti dibuat,"katanya ketika sidang media selepas menjadi tetamu kehormat Majlis Radio Televisyen Malaysia (RTM) Bersama Rakan Sinergi 2019/2020 di Auditorium Kecil, RTM Kuching, Jalan P. Ramlee, di sini, hari ini.

Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian berkata demikian mengulas tentang adanya kalangan penduduk luar bandar negeri ini menyatakan keengganan mereka menubuhkan majlis terbabit yang dibawah kerajaan PH.

Beliau mendedahkan ketika ini sudah sebanyak 3,000 permohonan menubuhkan MPKK dari rumah panjang dan kampung di Sarawak diterima pihaknya yang sudah lebih separuh dari keseluruhan 5,900 rumah panjang dan kampung yang ada di Sarawak yang layak membentuk MPKK.

"Peringkat pertama penubuhan majlis itu dijangka dirasmikan Mac depan. Tetapi saya rasa sekiranya selepas menubuhkan (banyak MPKK) dan mereka (penghuni rumah panjang yang  lain) dapat melihat kebaikan dibawah MPKK ini, saya rasa semua akan menerimanya,"katanya.

Beliau berkata MPKK ada struktur dan akaun bank sendiri dan ini membolehkan kerajaan pusat  menyalurkan terus bantuannya kepada kampung dan rumah panjang terbabit, tetapi sekiranya tidak ada menubuhkan MPKK, kerajaan pusat juga boleh mengunakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"MPKK ini digunakan kerajaan persekutuan untuk menyalurkan bantuan ke peringkat akar umbi. Sebab rakyat selama ini kadang-kadang mereka merasa tidak berpuas hati dengan kerajaan persekutuan tidak buat apa-apa untuk rakyat peringkat akar umbi,"katanya. 

Katanya dengan ada penubuhan MPKK diharapkan rakyat peringkat akar umbi akan sedar yang kerajaan persekutuan perihatin terhadap mereka dan tafsiran akan MPKK bercanggah dengan penubuhan JKKK atau MPKK hanya bertujuan politik adalah tidak betul.

"Banyak MPKK ini di rumah panjang ataupun kampung yang mereka buat, ahli JKKK dan  MPKK ini adalah orang yang sama,"katanya dan ini menyangkal tuduhan MPKK bertujuan memecah belahkan penghuni rumah panjang dan penduduk kampung.
tamat

keterangan gambar:
1. Ali Biju (kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kejuruteraan TV RTM Sarawak, Norjihan Yahya (dua dari kiri) ketika menjadi tetamu kehormat Majlis RTM Bersama Rakan Sinergi 2019/2020 di Auditorium Kecil, RTM Kuching, Jalan P. Ramlee, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel