PH rangka Dasar Rumah Panjang Negara


KUCHING, 12 Feb: Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju menjangkakan Jawatankuasa Dasar Rumah Panjang Negara (JDRPN) yang akan merangka dasar kerajaan terhadap penghuni 5,000 rumah panjang di negeri ini dapat mula ditubuhkan Jun tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian dan telah diumumkan sebagai pengerusi jawatankuasa itu Julai tahun lepas berkata ketika ini jawatankuasa terbabit secara umumnya masih di peringkat perbincangan penubuhannya.

"Secara umumnya dia (JDRPN) masih diperingkat perbincangan, dia masih belum lagi dirasmikan. Itu (JDRPN ditubuhkan dan mula merangka dasar terbabit) akan dilakukan selepas separuh (2020) atau selepas (perayaan) Gawai Dayak pada Jun ini,"katanya ketika pada sidang media selepas menjadi tetamu kehormat Majlis Radio Televisyen Malaysia (RTM) Bersama Rakan Sinergi 2019/2020 di Auditorium Kecil, RTM Kuching, Jalan P. Ramlee, di sini, hari ini.

Ali berkata bagi menubuhkan JDRPN pihaknya akan mengambil pandangan dari semua pihak terutamanya dari pihak berkepentingan iaitu penghuni rumah panjang sendiri dan masyarakat yang masih hidup dalam rumah panjang.

"Ini (JDRPN) cadangan telah dibuat kerajaan persekutuan dan tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kerajaan Persekutuan telah mengambil inistiaf untuk menolong penghuni rumah panjang secara terus kepada peringkat akar umbi,"katanya.

Beliau berkata jawatankuasa terbabit akan memperkenalkan dasar-dasar yang sangat relevan dari segi bagaimana mengaturkan kehidupan sosial dan keselamatan penghuni rumah panjang disamping melihat reka bentuk dan kesesuaian rumah panjang di Sarawak. 

"Ini kita akan analisa dan kemukakan (dasar) ini kepada pihak kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk dilaksanakan,"katanya yang diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebagai pengerusi jawatakuasa itu Julai tahun lepas.



keterangan gambar: 

1. Ali Biju (kiri) menerima cenderahati dari Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kejuruteraan TV RTM Sarawak, Norjihan Yahya (dua dari kiri) ketika menjadi tetamu kehormat Majlis RTM Bersama Rakan Sinergi 2019/2020 di Auditorium Kecil, RTM Kuching, Jalan P. Ramlee, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel