Peniaga barangan lusuh 'putih mata'
KUCHING: Sebuah kedai membeli barangan lusuh di bandaraya Kuching berputih mata setelah diserbu pihak polis kerana membeli barangan curi.
Serbuan dilakukan dalam satu Operasi Lusuh yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sarawak pada Rabu hingga semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching,
Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya berjaya menangkap 12 lelaki berumur lingkungan 26 hingga 38 tahun terlibat di dalam kegiatan mencuri bahan-bahan pembinaan bangunan di Jalan Diplomatik, di sini.
"Modus operandi suspek adalah masuk dengan cara menceroboh ke tapak pembinaan di mana lokasi terbabit tidak ada ditempatkan pengawal keselamatan.
"Antara barang-barang yang berjaya dirampas daripada suspek ialah tiga buah motosikal, pemotong paip, gergaji kayu, pemotong, kotak bateri, batang rangka tingkap aluminium dan tembaga kepala gas oksigen,"katanya.
Beliau berkata,hasil semakan lanjut ke atas motosikal yang dirampas didapati salah sebuah motosikal masih dilaporkan hilang bersabit laporan di balai polis Batu Kawa.
"Hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas suspek, barang curi dijual dengan salah sebuah premis barang lusuh di sekitar bandaraya Kuching.
"Dengan dipandu arah oleh suspek, pihak polis telah membuat serbuan ke atas premis terbabit dan telah menangkap seorang pekerja warganegara asing berusia 26 tahun dan merampas sebanyak 27.5 kilogram kepingan besi aluminium yang dipercayai dicuri dari tapak pembinaan terbabit untuk siasatan lanjut kes itu,"katanya.
Katanya,kesemua suspek ditahan reman selama lima hari mulai semalam manakala manakala pekerja warganegara asing ditahan di bawah kesalahan Akta Imigresen.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan hukuman penjara selama 10 tahun, dan juga boleh dikenakan denda atau sebat.
Merbin menasihatkan pengusaha barang lusuh suoaya tidak membeli barang-barang yang mencurigakan dan dipercayai barang-barang curi.
"Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pengusaha dan boleh juga dilucutkan lesen perniagaan jika didapati terbabit," tegasnya.