Penjaga parkir cedera parah disamun
GEORGE TOWN: Seorang penjaga parkir warga Bangladesh cedera parah selepas dipukul dengan topi keledar oleh dua lelaki yang menyamun mangsa ketika dia sedang bekerja di Lorong Abu Siti di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 malam itu, mangsa berusia 56 tahun telah didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal sebelum mereka bertindak menyerang penjaga parkir tersebut dengan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata berdasarkan siasatan awal, seorang suspek memeluk warga Bangladesh itu dari belakang manakala rakannya bertindak memukul mangsa sebelum mengambil beg silang yang mengandungi wang tunai serta telefon bimbit.
"Dua suspek itu kemudian melarikan diri dengan motosikal manakala mangsa yang parah ditemui terbaring tidak sedarkan diri di tepi longkang oleh orang awam yang lalui di kawasan tersebut sebelum menghubungi polis untuk melaporkan kejadian berkenaan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan krtitikal selepas mengalami pendarahan dalam otak akibat dipukul dengan topi keledar oleh suspek.
Soffian berkata polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan lelaki itu yang bekerja sebagai penjaga parkir di situ sejak 10 tahun lepas dan telah memperoleh taraf pemastautin tetap di negara ini.
"Mangsa kehilangan wang tunai RM500 dan sebuah telefon bimbit selepas disamun dua lelaki tersebut. Kami telah menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian samun berkenaan," katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada polis di mana-mana balai berdekatan bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA