Kisah menarik di sebalik huruf K dalam MyKad orang Sarawak
SEMUA warganegara Malaysia berumur 12 tahun ke atas wajib membuat kad pengenalan atau MyKad sebagai dokumen pengenalan diri.
Bila sudah ada MyKad ini, jagalah ia seperti menjaga 'nyawa' sendiri sebab hidup anda akan susah tanpa dokumen pengenalan diri ini.
Masakan tidak, apa sahaja urusan rasmi seperti berurusan dengan kaunter kerajaan, swasta, berurusan di bank, klinik dan hospital, MyKad adalah dokumen pertama diminta untuk semakan rekod.
Bila kad pengenalan atau biasa disebut I.C mula diperkenalkan?
Menurut Pengarah JPN Sarawak, Abang Noraffian Abang Ibrahim, kad pengenalan mula diperkenalkan pada tahun 1948 semasa zaman komunis berlaku di negara ini.
"Tujuan kad pengenalan diperkenalkan ialah kerajaan masa itu mahu membendung dan memelihara keselamatan dalam negara kita di mana warga yang berumur 12 tahun ke atas perlu mendaftar pengenalan diri.
"Ternyata usaha ini memang membantu ke arah kita membendung ancaman penganas komunis di dalam negara pada masa itu," jelasnya kepada Gagodaily ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang, Jalan Simpang Tiga di Kuching.
Selepas itu, katanya, sejajar dengan evolusi kad pengenalan di Malaysia, pada tahun 1960 telah diperkenalkan kad pengenalan plastik dengan tulisan tangan.
Pada tahun 1990 pula, proses menambah baik ciri-ciri keselamatan telah dibuat oleh oleh pihak kerajaan melalui JPN di mana kad pengenalan bermutu tinggi menggunakan stamp plastik dan mempunyai gambar hitam putih telah digunakan.
Ia juga permulaan teknologi komputer dalam pengeluaran kad pengenalan menggunakan cetakan komputer.
Pada tahun 1999, kad pengenalan bermutu tinggi besertakan gambar warna diperkenalkan oleh kerajaan dan ini ialah inisiatif diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed selaku Perdana Menteri pada masa itu.
Kad pengenalan ini dikenali sebagai kad pintar pelbagai guna kerajaan dan ia direka sedemikian rupa untuk diselaraskan dengan perkembangan k-ekonomi pada masa itu bertujuan meransang pertumbuhan ekonomi dalam negara yang sedang berada di platform e-dagang pada masa berkenaan.
Bolehkah rakyat Semenanjung dan Sabah tinggal di Sarawak mendaftarkan kelahiran dan kematian ahli keluarga di negeri ini, bagaimana pula dengan rakyat Sarawak yang bermastautin di luar Sarawak?
Abang Noraffian berkata, untuk kelahiran dan kematian di Semenanjung ia perlu didaftarkan berdasarkan kepada Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1997 atau Akta 299 yang mana akta ini hanya berkuatkuasa di Semenanjung sahaja.
Bagaimanapun, jelasnya, pendaftaran boleh juga dibuat di Sarawak tetapi permohonan itu akan memajukan kepada JPN Putrajaya untuk rujukan Penguasa Pendaftar Kelahiran dan Kematian telah dilantik di bawah Akta 299.
Akta 299 dipakai di Semenajung, manakala Sabah dan Sarawak pendaftaran kelahiran dan kematian di bawah ordinan masing-masing.
Bagi Sarawak, kata Abang Noraffian, negeri ini menggunakan Ordinan Kelahiran dan Kematian 1991 atau Sarawak Cap. 10.
“Untuk kelahiran berlaku di Semenanjung tetapi melalui JPN Sarawak, pemohon hendaklah mengisi borong JPN dinamakan JPN LM 01 dengan menyertakan bersama dokumen sokongan iaitu kad pengenalan diri, dokumen perjalanan sah permohonan dan dokumen pemeriksaan ibu hamil, kad klinik kesihatan kanak-kanak, pengesahan kelahiran dari hospital dan klinik serta sijil perkahwinan ibu bapa," katanya.
Apa keistimewaan indikator atau huruf 'K' dalam MyKad warganegara Malaysia kepunyaan orang Sarawak. Bolehkah rakyak Sarawak bermastautin di Semenanjung mendaftar mendapatkan MyKad Sarawak untuk anak-anak lahir di Semenanjung dan Sabah?.
Jelas Abang Noraffian, membezakan MyKad rakyat Sarawak dengan warganegara Malaysia lain ialah indikator K.
"Maksud indikator K ialah warganegara Malaysia kepunyaan Sarawak, kalau Sabah dia warganegara Malaysia kepunyaan Sabah iaitu indikator H.
"Jadi, antara ibu atau bapa yang mempunyai kelayakan berkenaan (ada MyKad indikator K), maka anak dia sebenarnya boleh memohon kad pengenalan Sarawak dan kalau dia tidak dapat balik ke Sarawak untuk menguruskan permohonan itu, dia boleh memohon di mana-mana pejabat JPN di seluruh Malaysia dan permohonan itu nanti akan dimajukan kepada JPN Sarawak untuk proses semakan pertimbangan kelulusan dan tindakan selanjutnya.
"Tidak semestinya tunggu balik ke Sarawak untuk memohon kerana ada borong khas di seluruh Malaysia untuk memohon penukaran indikator sebab selalunya kalau orang Sarawak bekerja di Semenanjung contoh di Kuala Lumpur mereka duduk di sana dan kalau berkahwin, melahirkan anak, mereka boleh memohon memasukkan indikator ini dengan JPN Sarawak," jelasnya.
Apa istimewanya indikator K dalam MyKad rakyat Sarawak?
Menurut Abang Noraffian, selain memudahkan perjalanan, pemilik MyKad ada indikator K turut layak menikmati pelbagai insentif dan faedah lain ditawarkan oleh kerajaaan Sarawak.
“Indikator K ini kalau kita lihat untuk warganegara kepunyaan Malaysia kepunyaan Sarawak maknanya daripada segi 'benefit' kepada rakyat Malaysia yang apa berada di negeri Sarawak ini, mereka boleh menikmati banyak insentif ditawarkan kerajaan negeri kepada rakyat Sarawak.
"Sebagai contoh mereka boleh mendapatkan 'Endowment Fund Sarawak' (EFS), Kenyalang Gold Card (KGC) yang baru diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini dan insentif ibu bersalin.
"Kalau kita ada indikator K maknanya kalau nak masuk ke Sarawak pun memadai guna I.C yang ada indikator K ini sebab imigresen lepas, kalau tidak mereka perlu guna pasport untuk kemasukan ke mana-mana lapangan terbang di Sarawak", katanya.
Hakcipta Terpelihara.