Perlembagaan Sarawak sudah jelas
KUCHING,19 Feb: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan hanya anak Sarawak boleh bertanding pada pilihan raya negeri dan menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri ((DUN) Sarawak.
"Bagi Sarawak, perlembagaan sudah jelas, mesti anak Sarawak (boleh bertanding pada pilihan raya negeri dan menjadi wakil rakyat DUN di Sarawak). Sudah amat jelas dalam perlembagaan Sarawak,"katanya selepas merasmikan pelancaran Sarawak Travel Apps and Portal, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata individu yang berasal dari Malaya sehubungan itu tidak dapat bertanding pada pilihan raya negeri ini dan merasakan tidak perlu membuat sebarang pindaan terhadap perlembagaan Sarawak mengenai perkara itu.
"Kalau (wakil rakyat) Parlimen, saya tidak tahulah, kerana bagi Parlimen, (anak) Melaka boleh bertanding di Pulau Pinang dan (anak) Pulau Pinang boleh bertanding di Pahang," katanya.
Abang Johari berkata demikian mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang yang mencadangkan pindaan perlembagaan Sarawak bagi memastikan hanya anak Sarawak menjadi wakil rakyat di Sarawak.
"Itu pandangan dia (Datuk Idris Buang), kita akan menimbangkan dan melihatnya," katanya.
Tamat
keterangan gambar
1.Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (empat daei kiri) dan tetamu kehormat lain meletakkan tangan pada skrin sebagai simbolik merasmikan pelancaran Sarawak Travel Apps and Portal, di sini, hari ini.