Pusat Khidmat PVTKR di setiap bahagian
SRI AMAN: Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer ( PVTKR ) akan menubuhkan Pusat Khidmat di setiap bahagian dengan tujuan memudahkan veteran tentera mendapatkan maklumat terkini serta mempercepatkan proses permohonan kebajikan mereka.
Presidennya, Lt Kol (Bersara) Mohd Melintang Abdullah berkata, pihaknya juga akan meneruskan usaha serta memberi fokus untuk menjejak seberapa ramai veteran yang belum berdaftar.
"Ini terutama bekas Iban Tracker dan Sarawak Ranger khasnya di kawasan pendalaman," katanya di sini hari ini.
Katanya, PVTKR sentiasa berbakti kepada veteran yang telah banyak, berjasa kepada negara.
Dalam pada itu, katanya, Pengarah JHEV ATM Negeri Sarawak, Mej Pahot Joll dan Ahli EXCO PVTKR turun padang membuat lawatan kebajikan ke tiga orang veteran yang kurang sihat di Rumah Marphy Selanjan Sebemban dan di Melugu Skim B di Sri Aman.
"Bantuan sara hidup serta permohonan bantuan peralatan kesihatan telah diproses serta-merta dan diharap veteran yang kurang sihat akan mendapat bantuan segera," jelasnya.